Editor Sarawak Report perincikan serangan kerajaan Najib 


Alfian Z.M. Tahir

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown ketika berucap pada pelancaran bukunya The Sarawak Report: The Inside Story Of The 1MDB Expose di Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 September, 2018

WARTAWAN kelahiran Sarawak, Clare Rewcastle Brown yang tidak pernah berhenti mendedahkan dakwaan penyelewengan membabitkan bekas ketua menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud berkata, beliau disenarai hitam daripada memasuki negeri berkenaan kerana laporannya berkenaan penebangan hutan.

Clare kemudiannya mendapati dirinya sekali lagi terlibat dalam kontroversi selepas mendedahkan satu lagi skandal, kali ini melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Terdapat banyak serangan. Seperti serangan siber tetapi pasukan saya terus cuba mendedahkan penyelewengan dan isu lain.”

“Kami perlu bekerja di luar dari ketakutan,” katanya ketika pelancaran bukunya, The Sarawak Report: The Inside Story Of The 1MDB Expose.

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown ketika berucap pada pelancaran bukunya di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 September, 2018

Beliau yang mengendalikan Sarawak Report mendedahkan, beliau mula menjadi sasaran kerajaan sebelum ini menerusi kempen seluruh negara untuk mencemarkan kredibilitinya. 

“Beberapa pihak dibayar untuk memfitnah saya, dengan berpura-pura menjadi aktivis, untuk mencemar reputasi saya,” katanya ketika berucap. 

Rewcastle-Brown dikehendaki oleh kerajaan Najib dan diletakkan di bawah notis merah Interpol namun selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, beliau keluar dan masuk Malaysia beberapa kali.

“Saya tulis buku ini dengan rakyat Malaysia dalam minda saya,” katanya.

Berikutan kekalahan Barisan Nasional, Najib ditahan dan didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

1MDB merupakan cetusan bekas perdana menteri Najib Razak.

Buku tulisan Clare Rewcastle Brown, The Sarawak Report: The Inside Story Of The 1MDB Expose yang dilancarkan hari ini.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 September, 2018

Najib didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram awal bulan ini, selain empat pertuduhan terdahulu berhubung dana SRC International yang ditemui dalam akaun peribadinya.

Tiga deposit - berjumlah hingga RM27 juta, RM5 juta dan RM10 Juta, didapati disalurkan ke akaun AmIslamic Bank antara 26 Disember, 2014 dan 10 Februari, 2015.

Minggu lalu, Putrajaya memfailkan dakwaan jenayah kerana pengubahan wang haram terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho, dan juga bapanya, Low Hock Peng berhubung dana yang didakwa dicuri dari 1MDB.

Low yang juga dikenali sebagai Jho Low merupakan kenalan rapat Najib.

Dakwaan “in absentia” difailkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Jabatan Peguam Negara di Mahkamah Sesyen Putrajaya.

Waran tangkap kedua-dua individu terbabit juga turut dikeluarkan. – 8 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen