KEPUTUSAN tidak rasmi meletakkan Pakatan Harapan mendahului PAS dengan 2,355 undi pada pilihan raya kecil Seri Setia.
Titik pertengahan dijangka akan menjadi sekitar 12,000 undi kerana jumlah keluar mengundi di kerusi yang mempunyai 53,492 pengundi itu dijangka sekitar 44%.
Pada jam 6.40 petang, calon Pakatan Halimey Abu Bakar mendapat 6,452 undi (61%) berbanding calon PAS Dr Halimah Ali yag mendapat 4,097 undi (39%). Jumlah undi yang dikira setakat ini adalah 10,549 undi.
Keputusan itu menunjukkan Pakatan memenangi tiga daripada 21 pusat mengundi walaupun PAS mendahului di tiga pusat mengundi.
Keputusan itu disusun oleh Institut Darul Ehsan yang mana ejen pengiraan undi akan mengemas kini keputusan itu selepas pengiraan selesai.
Setakat jam 4 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya meletakkan peratusan keluar mengundi hanya 39%. Peratusan keluar mengundi paling rendah adalah 47% pada pilihan raya kecil Sungai Kandis bulan lalu.
Barisan Nasional memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kcil itu bagi memberi laluan kepada perlawanan satu lawan satu antara PAS dan Pakatan Harapan.
BN dan PAS menggunakan pilihan raya kecil itu sebagai medan ujian untuk kerjasama mereka bagi melihat sama ada ahli parti terbuka untuk mengundi satu sama lain.
Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shaharuddin mendapat 29,250 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional Yusoff M Haniff (9,878) dan calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dengan majoriti 19,372 undi. Calon bebas S Vigneswaran LM Sanasee hanya mendapat 217 undi.
Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya Shaharuddin Badaruddin akibat kanser pada 2 Ogos lalu.– 8 September, 2018
Komen