Bencana politik 'semuanya okay'


Zainal Rashid Ahmad

SATU bencana besar yang menimpa bekas perdana menteri Najib Razak ialah sikapnya yang hanya suka menerima berita baik daripada pasukan penasihat politiknya. Ketika Najib berdepan kemelut politik yang teruk berikutan pecahnya isu 1MDB pada 2014, pasukan penasihat masih memberikan tanggapan: “Semua okay dan PM kekal popular.”

Laporan konon dirinya kekal popular serta usaha Najib menyebarkan angka-angka pencapaian yang baik dalam ekonomi dianggap penutup bagi semua realiti ketika rakyat merungut mengenai kos sara hidup dan cekikan GST.

Manakala, projek-projek kosmetik terutama agenda perumahan, yang dilancarkan bertalu-talu dengan pelbagai janji manis, dianggap berjaya membeli jiwa generasi muda. Majlis-majlis yang dibanjiri manusia dijadikan ukuran, itulah tanda undi yang bakal diperolehi.

Ketika Najib melalui kemelut politik yang teruk, pasukan politiknya melaporkan pemimpin Umno dan BN itu tetap kekal popular. BN akan menang lebih 140 kerusi pada PRU14, kata mereka.

Ketika Najib diselubungi skandal AS$680 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya, bekas PM itu dengan mudah mendengar pandangan pasukan politiknya. Jadi, tidak hairanlah – jawapan yang diberikan pada waktu itu langsung tidak masuk akal: Wang itu didermakan hartawan diraja Arab Saudi.

Kenapa diungkit cerita buruk Najib?

Sebenarnya, tiada apa-apa lagi mengenai Najib untuk dibincangkani. Secara politik, karier Najib sudah musnah sama sekali. Secara perundangan, Najib akan naik turun mahkamah selama satu dekad bagi menghadapi pertuduhan demi pertuduhan. Ada yang telah dijadikan kes, dan banyak lagi sedang disiasat dan akan dijadikan kes mahkamah.

Cuma, sejarah Najib perlu dipelajari. Oleh siapa? Oleh ahli politik baharu PH!

Kebanyakan pemimpin PH yang berada dalam kerajaan adalah muka baharu. Selain Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, 26 anggota kabinet sekarang adalah muka baharu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali mempunyai sedikit kredit kerana ada pengalaman selama dua penggal mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Apa kebimbangan terhadap menteri-menteri baharu?

Jangan dengar nasihat terpilih. Jangan hanya mendengar kisah-kisah kejayaan. Jangan terkeliru dengan laporan-laporan sukses daripada pasukan politik anda. Jangan jadikan kehidupan sebagai menteri sebagai hari-hari yang sibuk dengan kisah-kisah kejayaan.

Ketika BN berkuasa, ada menteri kabinet yang memiliki cybertroopers. Kerjanya hanya membalas dan mencela secara kasar setiap komen-komen pedas rakyat. Pembodek politik di media sosial ini, kerjanya hanya menjadikan menteri BN ini semua nampak sempurna.

Ada konco-konco politik pula, kerjanya terus membela menteri BN apabila dikritik dengan memberikan jawapan-jawapan penuh emosi. Komplen rakyat diperlekeh. Pasukan politik BN menjalankan tugas hanya untuk menzahir tanda sokongan dan taat setia tidak berbelah bahagi pada menteri mereka. Bukan mendengar keluhan rakyat!

Hingga akhirnya, tidak ada satu komen awam pun yang dikaji. Budaya penolakan terhadap kritikan menjadikan wujud sikap untuk tidak langsung mempertimbangkan kritikan. Semua kritikan dianggap berbau musuh politik. Justeru, ia tidak perlu diberikan perhatian.

Hinggakan apabila rakyat mengkritik, menegur atau menzahirkan kemarahan atau kekecewaan, kenyataan rakyat juga dianggap sebagai komen musuh politik.

Kenapa ini berlaku?

Kerana orang-orang menteri mengikut budaya yang dilakukan pasukan penasihat Najib. Iaitu, hanya menyampaikan berita gembira dan maklumat yang sukses sahaja kepada bos mereka. Akhirnya, kegagalan Najib memahami kemarahan dan kekecewaan rakyat menjadi faktor utama BN tumbang.

Justeru, sekiranya PH ingin belajar daripada sejarah kejatuhan empayar Najib, maka pasukan penasihat menteri perlu belajar untuk tidak menjadi penghibur. Bahawa, menteri tidak perlu dihiburkan dengan kisah-kisah kejayaan dan khabar-khabar terpilih bahawa rakyat sangat gembira dengan prestasi menteri.

Saya mendengar banyak kisah. Entah benar entah tidak. Tetapi, kalau kawan-kawan yang baru balik Mekah menyampaikan berita yang sama, mustahil ia fitnah. Ia kisah orang kuat politik seorang menteri menjerit di bilik media mengatakan: “Saya bukan orang biasa!”

Tragedi ini mudah. Ia berlaku apabila media tidak dapat memenuhi permintaan orang kuat menteri ini untuk membuat liputan. Ini kerana semua media yang berada di Tanah Suci terikat dengan komitmen dengan Tabung Haji. Secara asasnya, hanya Menteri Agama memiliki program rasmi sepanjang musim haji. Ini tertera dalam semua jadual Tabung Haji.

Semua jemaah media Malaysia yang bertugas di Mekah terikat dengan jadual Tabung Haji sebagai agensi yang menguruskan permit dan perjalanan jadual liputan mereka sepanjang musim haji.

Kejadian jerit menjerit dalam bilik media di Mekah sangat menyedihkan. Wartawan terasa malu dan memandang rendah kejadian ini kerana ia tidak menggambarkan karektor PH secara keseluruhannya.

PH memperjuangkan agenda perubahan. Malah, mahu meletakkan media di tempat lebih baik. Justeru, perbuatan menjerit di bilik media tidak menggambarkan iltizam itu.

Tulisan ini tidak berniat mengaibkan sesiapa. Ia teguran kerana rasa hormat pada PH yang sangat menekankan pada agenda pembaharuan. Namun, pembaharuan tidak boleh dilakukan dengan kesombongan dan kemegahan. Itu bukan sikap untuk menggerakkan kemajuan.

Juga, orang-orang di sekitar menteri selaku pasukan politik perlu harus bersikap terbuka. Kritikan bukan hanya diraikan melalui cakap-cakap retorik. Ia mesti diraikan dalam budaya komunikasi harian. Menerima kritikan mesti dilaksanakan dalam mekanisme moral dan intelek. Bukan sikap pura-pura yang jelek! – 8 September, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen