KANAK-KANAK tanpa kewarganegaraan yang lahir di Malaysia dimasukkan ke dalam pusat-pusat tahanan dan dipaksa mengaku bertanggungjawab atas kejadian jenayah oleh Jabatan Imigresen, dakwa sebuah gabungan kerjasama NGO Sabah (Gannos).
Setiausaha Agung Gannos Mohd Sayadi berkata kanak-kanak itu dipaksa untuk mengaku bahawa mereka telah melanggar Akta Imigresen dengan memasuki negara tanpa dokumen sah.
Beliau menambah, kanak-kanak yang terlibat tidak mengetahui hak-hak mereka sekaligus dinafikan ikat jamin dan khidmat guaman.
“Kami menemui beberapa kes di mana pihak berkuasa menggunakan undang-undang ini terhadap mereka. Mereka yang didapati bersalah turut berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan.
“Tidakkah ini satu lagi penyalahgunaan undang-undang yang kejam? Pihak Gannos turut menemui mereka yang ditahan di bawah undang-undang itu dinafikan ikat jamin dan khidmat guaman,” katanya di dalam sebuah kenyataan, hari ini.
“Kanak-kanak ini tidak terlibat dengan urusan birokratik. Ini jelas sekali sebuah pelanggaran hak asasi manusia dan penyalahgunaan undang-undang imigresen yang termaktub oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.
Pihak Gannos turut menyatakan kebimbangan mereka mengenai keadaan kanak-kanak yang dipisah dari ibu bapa mereka sepanjang waktu tahanan, selain tahanan yang dihantar pulang ke negara asal mereka sedangkan negara itu tidak menerima mereka sebagai warganegara.
Beliau turut mengatakan kanak-kanak terbabit turut dimasukkan ke dalam pusat-pusat tahanan yang kotor, tidak dirawat dan dibanjiri air dan mereka terpaksa menghadapi tahanan selama berbulan-bulan tanpa makanan yang cukup.
Sayadi turut menambah amalan penguatkuasaan yang dilaksanakan jabatan itu pada waktu ini hanya memburukkan keadaan individu-individu tanpa kewarganegaraan di Sabah.
“Mereka dilahirkan di Malaysia dan tidak masuk ke dalam negara ini secara salah, mereka berhak mendapat kewarganegaan secara adil.”
“Penggunaan Seksyen 6 itu jelas melanggar hak asasi manusia dan Gannos sependapat dengan Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri bahawa kita perlu pembaharuan dalam sistem imigresen negara,” tambahnya lagi.
Sayadi berkata pihak Gannos menggesa kerajaan untuk mengadakan moratorium dan menghentikan aktiviti tangkapan dan penahanan di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen ke atas mereka yang lahir di Malaysia. – 8 September, 2018.
Komen