Sokong sambil kritik, Hishamuddin Rais mahu 'Bersihkan Malaysia'


Nabihah Hamid

Aktivis politik Hishamuddin Rais berkata beliau akan tetap mengkritik dasar kerajaan PH melalui NGO baharu, Bersihkan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 September, 2018.

SETELAH lebih 20 tahun di kem pembangkang, aktivis politik Hishamuddin Rais kini berubah menjadi penyokong kerajaan dan akan bergiat melalui satu NGO baharu, Bersihkan Malaysia.

Namun pada masa sama, beliau akan tetap menjalankan tanggungjawab mengkritik dasar kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) melalui NGO itu, katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.

“Saya ada berniat mengumpulkan beberapa kawan untuk menubuhkan NGO yang dipanggil Bersihkan Malaysia. Ini cita-cita untuk memberikan sokongan dan kritikan untuk kerajaan baru ini.

“Jadi kami menyokong kerajaan baharu ini pada masa sama kami juga mengkritik. Jadi ini perlu dilakukan sebagai tanggungjawab kami,” kata pengasas kelompok gerakan anak muda Kelab Bangsar Utama itu.

Penulis blog popular Tukar Tiub itu berkata beliau mahu memastikan ruang demokrasi terjamin, selain memastikan PH kekal menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau memberi amaran, sokongan pengundi parti kerajaan itu akan terjejas sekiranya ruang demokrasi dihalang sehingga boleh menyebabkan PH menempa nasib sama seperti Umno.

“Ini hakikat tapi harus waspada harus sedar bahawa ruang demokrasi ini wajib dipertahankan kerana bila-bila masa saja, ia akan berkubur.

“Ruang demokrasi ini yang kita menangi 9 Mei dulu kalau kita tidak jaga, kembangkan, perkasakan berkemungkinan ia tergelincir hilang,” katanya.

Hishamuddin merupakan salah seorang penentang utama pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, namun sanggup bekerjasama dengan bekas perdana menteri yang mengetuai gabungan pembangkang itu dalam PRU14.

Hasilnya, PH berjaya menghumbankan Umno serta Barisan Nasional dan berjaya membentuk kerajaan.

Mengulas perkara itu, Hishamuddin berkata beliau menyokong Dr Mahathir demi perubahan.

Namun kerajaan ini perlu terus dipantau kerana dibimbangi akan mengkhianati perjuangan, tegasnya.

“Saya menyokong 100% PH, saya menyokong 100% kepimpinan daripada empat parti politik ini. Saya tidak ada masalah. Saya dari dulu lagi (mementingkan perubahan) struktural.

“Lembaga daulah ini kalau telah kita perkukuhkan kita selamat, kerana orang (politik) ini walaupun bercakap macam-macam, mengucap dua kalimah syahadah tak henti-henti tapi tidak semestinya mereka tidak belot.

“Tidak semestinya mereka jujur. Itu fasa politik,” kata bekas tahanan ISA yang meringkuk di Kamunting semasa pentadbiran Dr Mahathir kali pertama dulu.

Aktivis politik Hishamuddin Rais berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu dihapuskan segera tanpa perlu dikaji lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

Hishamuddin berkata perubahan struktural terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dilaksanakan segera untuk memastikan demokrasi terjamin.

Malah, akta yang menindas seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 juga perlu dihapuskan segera tanpa perlu dikaji lagi, katanya.

“Apa lagi mahu dikaji akta AUKU? Saya ada terlihat kenyataan (aktivis mahasiswa) Adam Adli. Ini harus diubah,” katanya.

Beberapa hari lepas, Adam yang pernah digantung pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana aktiviti pelajar dalam politik bertanya sampai bila kerajaan PH hendak mengkaji semula AUKU yang sudah dibahaskan sejak 1970-an.

Minggu lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan di Parlimen bahawa AUKU akan dimansuhkan dan diganti dengan undang-undang baharu.

Katanya, kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 15 dan 16 AUKU bagi memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa dan seterusnya memansuhkan akta itu untuk diganti dengan undang-undang lain. – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen