Himpunan diketuai Lokman Adam di depan Sogo kecoh


SM Amin

Kekecohan yang tercetus di perkarangan pusat beli belah Sogo melibatkan kira-kira 100 penyokong Pemantau Malaysia Baru dan anggota polis malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 September, 2018.

HIMPUNAN membantah keputusan Peguam Negara menarik balik pertuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng bertukar kecoh apabila polis menghalang peserta daripada berarak ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan polis.

Episod bermula apabila Pengerusi Pemantau Malaysia Baru, Lokman Noor Adam yang mengetuai perarakan itu tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis cuba merampas mikrofon beliau.

“Lu siapa nak halang rakyat Malaysia daripada buat laporan polis. Sejak bila rakyat Malaysia tidak boleh buat laporan polis?,” soal Lokman kepada polis.

Peserta rapat umum yang berjumlah kira-kira 100 orang itu sebelumnya berhimpun di perkarangan pusat beli belah Sogo, di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi.

Lokman sebelum itu menuduh sistem pembesar suara daripada kumpulan pemuzik jalanan yang bermain muzik di kawasan berhampiran sengaja dikuatkan untuk sabotaj himpunan tersebut. 

Dalam sidang media sejurus selepas itu, Lokman mendakwa beliau telah meminta pihak polis berunding dengan kumpulan busker tersebut tetapi polis enggan berbuat demikian.

Pengerusi Pemantau Malaysia Baru, Lokman Noor Adam bergelut dengan anggota polis ketika mengetuai himpunan di Sogo malam tadi bagi mendesak Peguam Negara Tommy Thomas untuk meletak jawatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 September, 2018.

Susulan daripada itu kata Lokman, beliau mengambil keputusan untuk berarak ke Balai Polis Dang Wangi dan membaca laporan polis tersebut di sana, jauh daripada kumpulan busker.

Menurut Lokman, biasanya pihak polis akan membenarkan beberapa orang untuk pergi ke balai polis namun beliau mendakwa Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Shaharudin Abdullah tidak berbuat demikian.

Lokman juga mendakwa polis bersikap kasar terhadap peserta rapat umum yang diberi nama Perhimpunan Pengebumian Institusi Peguam Negara itu.

Sebahagian penyokong Pemantau Malaysia Baru menyertai himpunan di Sogo mala tadi bagi mendesak Peguam Negara Tommy Thomas untuk meletak jawatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 September, 2018.

“Jika SOP (prosedur operasi standard) tersebut dilaksanakan sudah pasti tiada pergelutan dan sebagainya.

“Tetapi malangnya beliau memulakan bicara dengan menuding jari dan meninggikan suara beliau. Bukan setakat tidak boleh kawal perasaan kawan-kawan yang hadir, saya pun mungkin tidak boleh kawal perasaan saya. Saya bukan malaikat.

“Dan kita lihat laporan polis kita telah dikoyak, tidak pernah berlaku dalam hidup saya. Saya koyak laporan polis ada tapi polis koyak laporan yang saya buat, belum ada lagi,” katanya.

Lokman dan badan Pemantau yang diketuainya minggu lalu menganjurkan Kursus Asas Pembangkang Berkesan kepada aktivis penyokong Umno, yang antara lain mengajar peserta bagaimana menyertai tunjuk perasaan dan membuat laporan polis. – 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen