SESI siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini diberitahu bahawa polis tidak tahu bagaimana tiga keping gambar pastor Raymond Koh dan plat pendaftaran beliau boleh berada di rumah seorang suspek di Pengkalan Hulu, Perak.
Polis menemui gambar dan plat pendaftaran ST5515D ketika menjalankan serbuan ke atas rumah suspek tersebut tahun lepas, yang jaraknya beberapa ratus kilometer dari tempat Koh diculik.
Bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar ketika mengulas serbuan itu sebelum ini berkata, polis berharap gambar dan plat pendaftaran itu akan memberi sedikit maklumat mengenai misteri kehilangan Koh.
Namun, pada siasatan mengenai kehilangan Koh hari ini, semua harapan itu bertukar menjadi kecewa apabila seorang pegawai kanan polis ketika memberi keterangan berkata mereka menemui jalan buntu.
Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bertanya kepada Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed bagaimana gambar-gambar tersebut boleh berada di rumah seorang suspek yang ditembak mati pada tahun lepas.
“Ada sebarang bukti menunjukkan bagaimana gambar-gambar itu boleh berada di rumah suspek yang mati itu?” Mah bertanya kepada Huzir.
Menurut Huzir, mereka menyerbu rumah suspek di Kampung Selarong dan menemui bom buatan sendiri, peluru hidup, bendera dan gambar-gambar Koh.
“Apabila polis menyerbu rumah itu, mereka menemui gambar Koh.
“Tiada siapa yang boleh beri jawapan bagaimana gambar-gambar tersebut boleh ada di situ, termasuk isteri suspek ,” kata Huzir.
Bagaimanapun, perihal mengenai plat pendaftran yang juga ditemui tidak disebut.
Pada 17 Jun tahun lepas, seorang pengedar dadah dan penjenayah pemerdagangan manusia ditembak mati dekat Kampung Weng, di Ulu Lenggong, Kedah. Polis juga menahan tiga rakan suspek.
Siasatan lanjut telah membawa polis ke rumah suspek itu di mana gambar-gambar Koh ditemui.
Huzir berkata polis menyoal siasat kesemua suspek dan mendapati mereka tiada kaita dengan kehilangan Koh.
Ketiga-tiga suspek itu juga tidak dikenakan tuduhan jenayah, namun dibebaskan dengan ikat jamin.
Koh dilaporkan diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh 15 lelaki bertopeng yang menaiki tiga buah kenderaan SUV berwarna hitam.
Penculikan itu dirakam kamera litar tertutup dan disifatkan sebagai operasi terancang.
Suhakam ingin menentukan sama ada Koh, aktivis Amri Che Mat, yang hilang berhampiran rumahnya di Padang Behor, serta Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu, adalah kes kehilangan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. – 7 September, 2018.
Komen