TIADA perbincangan antara pucuk pimpinan PKR Pulau Pinang untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding di negeri itu bagi membolehkan beliau kembali berkhidmat di Dewan Rakyat.
Pengerusi PKR negeri Mansor Othman berkata buat masa ini, Anwar sendiri masih belum memaklumkan sebarang perancangan berhubung perkara itu kepadanya.
“Saya juga dalam biro politik pusat PKR. Tiada perbincangan oleh pihak parti tentang ini,” kata ahli Parlimen Nibong Tebal itu kepada The Malaysian Insight.
Khabar angin yang mula tersebar sejak awal minggu ini mengatakan bakal Presiden PKR itu akan bertanding di kerusi Parlimen di negeri kelahirannya di Pulau Pinang.
Baru-baru ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga dari parti PKR Jason Ong berkata Anwar perlu bertanding di Pulau Pinang memandangkan beliau memiliki penyokong tegar di negeri tersebut berbanding di Kedah atau negeri lain.
Bekas ketua bahagian DAP Nibong Tebal Teoh Siang Hooi turut mencadangkan kerusi Nibong Tebal yang didapati sesuai untuk Anwar bertanding dan diterima pengundi berdasarkan tinjauan yang dilakukan olehnya.
Ditanya sama ada sanggup melepaskan kerusi untuk Anwar, Mansor berkata rakyat telah memilih beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan tidak boleh sesuka hati meninggalkan tugas yang diamanahkan.

Timbalan ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin turut mengesahkan tiada perbincangan berhubung cadangan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di Pulau Pinang walaupun bekas timbalan perdana menteri itu dialu-alukan kembali berbakti di negeri sendiri.
“Saya tidak mempunyai kuasa untuk membincangkan kerusi mana yang akan ditandingi Anwar.
“Setahu saya, tiada perbincangan mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
“Baru-baru ini Anwar memaklumkan cabang PKR di Permatang Pauh supaya bersiap sedia untuk membantu kempen pilihan raya kecil apabila tiba masanya. Namun itu tidak bermaksud beliau akan bertanding di Pulau Pinang.
“Kerusi yang dipilih mungkin di luar Pulau Pinang,” kata ketua penerangan PKR negeri itu.
Pada Ahad lalu, Anwar memberitahu media bahawa beliau menyenaraikan dua atau tiga kerusi Parlimen untuk kembali ke Dewan Rakyat tetapi enggan mendedahkan kerusi yang akan ditandinginya.
Katanya ramai ahli Parlimen PKR sedia melepaskan kerusi untuk beliau walaupun mereka tidak menyatakan kesediaan berbuat demikian secara terbuka.
Selain Nibong Tebal, PKR memenangi tiga lagi kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu Permatang Pauh, Bayan Baru dan Balik Pulau.
Permatang Pauh yang merupakan kerusi tradisi dan kubu kuat Anwar, kini disandang oleh anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar.
Bulan lalu, Nurul Izzah memberitahu media bahawa beliau tidak akan melepaskan kerusi tersebut untuk ayahnya.
Dua lagi kerusi masing-masing dipegang oleh timbalan menteri iaitu Sim Tze Tzin di Bayan Baru (Kementerian Pertanian dan Asas Tani) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Balik Pulau (Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan). – 7 September, 2018.
Komen