Orang India pilih PKR kerana Anwar, kata calon naib presiden 


Nabihah Hamid

Vasantha Kumar Krishnan berkata, orang India sudah lama meninggalkan MIC kerana melihat parti itu gagal memperjuangkan kaum mereka walaupun menyertai kerajaan sejak berdekad lamanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 September, 2018.

RAMAI kaum India memilih PKR kerana yakin pada Anwar Ibrahim sebagai pemimpin berbilang kaum, kata seorang calon naib presiden parti itu, Vasantha Kumar Krishnan.

Parti PKR juga menjadi pilihan kerana melihat parti kerajaan dengan keanggotaan pelbagai kaum itu sebagai parti masa depan mereka, kata Vasantha dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

Bekas pemimpin Hindraf itu berkata, orang India sudah lama meninggalkan MIC kerana melihat parti itu gagal memperjuangkan kaum mereka walaupun menyertai kerajaan sejak berdekad lamanya.

“Sejak sekian lama MIC mendominasikan kaum India jadi kita percaya MIC adalah parti yang boleh mendukung hasrat, cita-cita dan masa depan kaum India. Itu yang kita rasakan. 

“Tapi selepas 50 tahun MIC gagal dari segi perlaksanaan pendidikan, ekonomi, sosial mahupun politik. MIC juga gagal dapatkan wajah baru dalam politik

“Jadi mereka sertai (PKR) disebabkan Anwar dan parti berbilang kaum. Bila (bekas Presiden MIC) Samy Vellu gagal untuk perjuangan kaum India dari segi hak sama rata Cina, Kadazan dan Iban maka mereka rasa mereka ketinggalan di belakang,” katanya.

Masyarakat India dikatakan sudah lama meninggalkan MIC kerana melihat parti itu gagal memperjuangkan kaum mereka walaupun menyertai kerajaan sejak berdekad lamanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2018.

Menurut Vasantha kaum India percaya nasib semua masyarakat lebih terbela di bawah kepemimpinan Anwar, malah lebih terjamin apabila presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

Peguam itu berkata, ramai kaum India menyertai PKR selepas perhimpunan Hindraf tercetus pada 2007 dan juga selepas pilihan raya umum tahun berikutnya.

“Orang India mencari parti baru yang boleh perjuangkan semua kaum. Mereka melihat Anwar adalah orang terbaik yang boleh memimpin komuniti (India) dan seluruh masyarakat Malaysia,” katanya.

Difahamkan, lebih 40 peratus daripada 800,000 anggota PKR terdiri daripada masyarakat India. 

Komposisi itu juga dalam dilihat dalam pemilihan parti kali ini apabila lima daripada 12 calon yang merebut jawatan naib presiden terdiri daripada kaum India.

Kata Vasantha ramai calon India menawarkan diri dalam untuk merebut jawatan tersebut termasuk dirinya kerana mahu membawa lebih banyak suara akar umbi terutama dari kaum itu.

“Mantan (Naib Presiden Xavier Jeyakumar) mungkin dia ada buat kerja bukan kita kata tiada. Saya rasa ramai orang menawarkan diri supaya mereka hendak masalah akar umbi benar-benar sampai,” katanya lagi. 

“Saya adalah individu dari akar umbi dan saya mahu bawa masalah akar umbi. Untuk semua kaum bukan saja India,” katanya.

Pemilihan PKR akan berlangsung bermula 22 September hingga 28 Oktober melibatkan 800,000 ahli melalui sistem e-voting. – 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen