PENINGKATAN gaji minimum yang terlalu tinggi akan meningkatkan kos kerajaan seterusnya menyebabkan negara hilang kompetitif, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata walaupun ramai berpendapat gaji minimum yang dinaikkan itu rendah tetapi negara kini sedang menghadapi pelbagai kesukaran untuk meningkatkan kos perbelanjaan.
“Ada yang berpendapat (gaji minimum) patutnya RM1,800 dan ada yang kata RM1,500. Tapi kita dalam keadaan kesukaran kerana wang yang sepatutnya, digunakan untuk membayar hutang.
“Kalau kos kita meningkat terlalu tinggi, kita akan hilang kompetitif kerana kerajaan sedang bersaing dengan negara lain,” kata beliau ketika sidang media Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Petaling Jaya, hari ini.
Bagi tarif gaji minimum baharu, pekerja seluruh negara akan menikmati RM1,050 oleh semua pekerja di seluruh negara bermula 1 Januari, 2019.
Sebelum ini jumlahnya RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak RM920 yang ditetapkan pada Julai 2016.
Malaysia mula melaksanakan gaji minimum pada Januari 2013 dengan permulaan RM900 untuk Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak.
Kenaikan gaji sebanyak RM50 mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak termasuklah ahli Parlimen PH.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago daripada DAP menyifatkan kenaikan itu sebagai “penghinaan” terhadap 15 juta tenaga kerja di Malaysia dan tidak mengambil kira kenaikan harga barangan serta perkhidmatan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin daripada PKR berkataa kerajaan perlu mengkaji semula kadar itu serta mengambil kira laporan tahunan Bank Negara pada 2017 yang menyatakan perbelanjaan isi rumah bagi kumpulan B40 semakin bertambah berbanding pendapatan mereka.
“Setiap penduduk layak untuk menerima gaji yang sesuai bagi membolehkan kita menikmati kehidupan yang baik.
“Ketika kita mengejar status negara industri, kira perlu bekerja keras untuk memastikan tiada pihak yang ketinggalan dan semua orang dapat menikmati keperluan asas,” kata Chin.
Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) pula berkata tarif baharu gaji minimum itu munasabah.
Ini kerana empat bulan diperlukan sebelum pelaksanaan akan membolehkan industri membuat penyesuaian belanjawan yang diperlukan.
FMM turut mengharapkan kerajaan dapat membantu majikan di Sabah dan Sarawak untuk membantu mengurangkan kesan kenaikan 14% dalam kos upah.
Penyelarasan gaji minimum merupakan satu daripada 10 janji kerajaan yang mahu ditunaikan dalam tempoh 100 hari pemerintahan.
Kerajaan PH turut berjanji akan mengkaji kadar gaji setiap dua tahun.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Industri Kecil Sederhana (SME) Kang Hua Keong berkata, Putrajaya perlu menunggu ekonomi negara lebih stabil sebelum melaksanakan kadar gaji minimum.
Katanya, penyelarasan gaji yang bermula pada Januari depan akan mewujudkan persekitaran perniagaan yang tidak mencabar dan bakal mencetuskan inflasi.
Malah katanya, pihak majikan terpaksa berdepan dengan kejatuhan nilai ringgit selain pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). – 7 September, 2018.
Komen