RAKYAT Malaysia yang berpuas hati dengan kerajaan baharu lebih ramai berbanding rakyat yang tidak gembira dengan Pakatan Harapan (PH), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Menurut satu kajian, sentimen positif lebih banyak berbanding negatif tentang kerajaan baharu,” kata pengerusi PH itu hari ini, memetik satu kajian tentang sentimen media sosial.
Beliau berkata rakyat Malaysia kebanyakan tidak gembira tentang kos terbabit dalam membangunkan LRT3 dan MRT berbanding kemudahan itu sendiri.
Kajian yang dijalankan oleh Berkshire Media itu menganalisis sentimen media sosial dalam kalangan kira-kira 480,000 rakyat Malaysia.
Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia juga mahu pendakwaan dilakukan dengan lebih cepat terhadap kes rasuah, dan merasakan tindakan pada masa ini lambat.
“Kerajaan baharu dilihat tidak bertindak cukup pantas atau cukup tegas terhadap jenayah dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” katanya selepas mempengerusikan majlis presiden PH di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata kelewatan itu disebabkan keperluan mengumpul bukti jelas sebelum pendakwa boleh mendakwa di mahkamah.
“Kami juga fokus kepada kes besar, bukan kes lebih kecil,” kata Dr Mahathir.
Rakyat Malaysia dalam kaji selidik itu turut berpuas hati dengan usaha kerajaan memansuhkan undang-undang tidak adil dan meluluskan undang-undang Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan butiran lain dalam kaji selidik itu yang dijalankan pada penghujung 100 hari pertama pentadbiran PH, bulan lalu.
Seorang jurucakap PH berkata kaji selidik itu meliputi pengangkutan, harga tol, harga minyak dan isu pekerjaan. – 7 September, 2018.
Komen