PEGAWAI kanan polis dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh yang bersambung hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed yang dipanggil hari ini selepas namanya disebut oleh ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat ketika siasatan tahun lalu.
Huzir dikenal pasti sebagai individu utama di Bukit Aman yang menyelaraskan penyiasatan keseluruhan tinjauan terhadap kes-kes yang berbeza.
Pada Isnin, Suhakam mengarahkan peguam dan pemerhati polis untuk mendapatkan pengesahan dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) ke atas Koh untuk menentukan sama ada dia disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen sebelum kehilangannya.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai membuat permintaan itu apabila timbalan penolong pengarah Jabatan Imigresen Hamid Momong berkata beliau tidak boleh mendedahkan senarai hitam itu.
Koh dilaporkan diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh 15 lelaki bertopeng yang menaiki tiga buah kenderaan SUV berwarna hitam.
Penculikan itu dirakam kamera litar tertutup dan disifatkan sebagai operasi terancang.
Suhakam ingin menentukan sama ada Koh, aktivis Amri Che Mat, yang hilang berhampiran rumahnya di Padang Behor, serta Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu, adalah kes kehilangan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
The Malaysian Insight membawakan kepada anda maklumat terkini mengenai siasatan awam itu:
4.50pm: Gomez bertanya kepada Huzir mengenai barang yang dirampas dari rumah di Pengkalan Hulu, dan juga mengenai gambar Koh yang ditemui di sana.
Huzir berkata selepas mendengar bahawa ada bom dalam rumah tersebut, beliau ke sana pada hari yang sama.
Gomez bertanya bagaimana Huzir tahu itu adalah gambar Koh.
Seorang pegawainya bernama Hazril memberitahu mereka menemui gambar Koh, kata Huzir.
Gomez bertanya kepada Huzir bagaimana beliau betul-betul pasti itu gambar Koh.
Kata Huzir, berita mengenai Koh tersebar di media sosial dan dari situlah mereka tahu mengenai pastor itu.
Kemudian Gomez beritahu Huzir bahawa bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar berkata dua pasukan telah digerakkan ke rumah tersebut pada hari yang sama dan menemui beberapa barangan.
Kata Huzir, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang ke sana dulu, kemudian beliau memanggil Fadzil dari Selangor untuk datang menyusul dan mengesahkan jika mereka menemui gambar Koh.
Siasatan bersambung pada 10 Oktober.
4.40: Gomez tanya Huzir mengenai barang yang dirampas di rumah suspek yang mati di Pengkalan Hulu.
Huzir kata semua barang rampasan direkodkan oleh polis.
Tambahnya, isteri si mati hadir ketika serbuan dijalankan.
Mah kemudiannya meminta untuk melihat laporan dan senarai geledah.
Huzir kata beliau akan menyerahkannya.
4.30pm: Mah beritahu Huzir yang mereka telah mencari beberapa orang untuk beri keterangan pada panel tetapi gagal.
Beliau bertanya mengapa mereka sukar dikesan walaupun menggunakan maklumat polis.
Semua nama yang disebut Mah tidak pernah didengar, jawab Huzir.
Kemudian Mah bertanya jika Huzir boleh mencari saksi kes Amri, Saiful Hafizan.
Huzir kata beliau akan cuba mencari Saiful.
Mah kemudian bertanya kepada pemerhati polis jika mereka berjaya menjejaki Saiful, dan mereka menjawab “tidak”.
4.20pm: Gomez tanya Huzir jika Saiful adalah saksi penting dalam siasatan Suhakam dan Huzir mengiyakan.
Kemudian Mah tanya Huzir jika terdapat bukti yang ditahan dalam kes Koh dan Amri.
Huzir menafikan.
4.00pm: Gomez kata isteri Amri, Norhayati nempak kereta Vios emas itu berada dekat dengan rumahnya ketika aktivis itu hilang.
Beliau berkata Norhayati dimaklumkan oleh pegawai SB Shamzaini yang kereta itu terlibat dengan kehilangan suaminya.
Kemudian Gomez berkata Khor dipanggil semula untuk beri keterangan, dan apabila ditanya jika beliau berada dalam sistem, Khor menjawab “ya”.
Kata peguam itu, Khor memberitahu panel siasatan bahawa Saiful bekerja di Pulapol tetapi meleyak jawatan pada Mac.
Gomez kemudian berkata Khor cuba untuk menjejaki Saiful tetapi tidak berjaya.
3.40pm: Pesuruhjaya Aishah Bidin bertanya kepada Huzir maklumat seperti apakah yang diletakkan di bawah OSA.
Huzir kata maklumat seperti semua sumber mereka yang diletakkan di bawah OSA tidak boleh didedahkan kepada umum.
Gomez kata mereka hanya mahu meminta bantuan polis tetapi Khor enggan mendedahkan maklumat.
Huzir kata mereka perlu bertanya kepada Khor mengenai perkara itu.
3.25pm: Gomez tanya Huzir mengenai Vios berwarna emas yang didakwa terlibat dalam penculikan Amri.
Kata Huzir, mereka bertanya kepada Khor mengenai nama dan di mana kereta itu berada tetapi pegawai polis itu enggan menjawab.
Gomez berkata Khor memberitahu siasatan bahawa maklumat mengenai kereta itu berada di bawah OSA dan kereta Vios emas tidak ada kena mengena dengan kes.
Beliau juga berkata seorang saksi meletakkan kereta itu di lokasi penculikan tetapi mempersoalkan mengapa polis tidak mahu memberi maklumat itu.
Huzir berkata beliau akan menyemak dengan jabatan undang-undang kerana tidak tahu mengapa Khor berkata maklumat tersebut berada di bawah OSA.
3.00pm: Gomez bertanya kepada Huzir adakah kes akan menjadis serius apabila Bukit Aman mengambil alih.
Huzir jawab “ya”.
Kemudian Gomez bertanya jika kes Amri diklasifikasikan sebagai serius apabila Bukti Aman mengambil alih.
Huzir jawab “ya”.
2.45pm: Gomez tanya Huzir pada masa bilakah Bukit Aman boleh mengambil alih kes atau siasatan.
Huzir berkata Bukit Aman tidak selalu mengambil alih kes, dan polis Perlis yang mula menyiasat laporan Ah Long mengenai gerakan murtad Koh sebelum diambil alih oleh Bukit Aman.
Gomez bertanya jika memang menjadi kebiasaan Bukit Aman mengambi alih kes.
Huzir berkata dalam kes Amri, Inspektor Khor diminta supaya menyerahkan kes tersebut kepada Bukit Aman.
12.30pm: Gomez bertanya Huzir sama ada beliau sedar kes Koh, Amri Che Mat dan Joshua dan Ruth Hilmy.
Huzir berkata beliau mula mendengar mengenai kes Koh tahun lalu diikuti dua kes lagi.
Gomez kemudian berkata Supari dan Fadzil menyatakan terdapat siasatan bersama dan diketuai oleh Huzir.
Beliau berkata tidak.
Huzir berkata beliau hanya mengadakan mesyuarat dengan pegawai penyiasat tiga kes berkenaan dan koordinasikan mereka sebelum siasatan Suhakam bermula tahun lalu.
Beliau berkata bagaimanapun jabatan perundangan telah menjalankan koordinasi bersama untuk siasatan.
Gomez bertanya sama ada beliau diberi taklimat berhubung ketiga-tiga kes berkenaan, Huzir berkata beliau hanya diberi taklimat berhubung kes Koh.
Siasatan berehat.
12.20pm: Mah kemudian bertanya Huzir tidakkah pelik Koh diculik di Petaling Jaya tetapi gambarnya di Pengkalan Hulu.
Huzir berkata adakalanya orang diculik di Sabah dan dibawa ke Filipina dan sekiranya di Johor akan dibawa ke Batam, Indonesia.
Katanya ia boleh berlaku di Petaling Jaya dan dibawa ke Thailand.
Pegawai Suhakam bertanya sekiranya kes Koh masih di bawah siasatan.
Huzir menjawab ya, bagaimanapun beliau tidak melihat apa-apa perkembangan.
12.05pm: Mah bertanya Huzir bagaimana tiga gambar Koh boleh berada di rumah suspek yang ditembak mati.
Beliau bertanya Huzir sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan gambar berkenaan ditemui di rumah berkenaan.
Huzir berkata tiada siapa dapat menjawab soalan itu.
Beliau juga berkata mereka telah menyoal isteri si mati namun tidak mendapat sebarang maklumat.
Mah bertanya sama ada terdapat suspek yang didakwa.
Huzir berkata tiada.
11.45am: Huzir berkata tahun lalu pasukannya menembak seorang suspek di Kedah.
Beliau juga berkata mereka memeriksa rumah suspek di Pengkalan Hulu, Perak dan menemui dadah, peluru hidup, bom buatan sendiri, bendera dan gambar rumah dan kenderaan Koh.
Huzir berkata, mereka turut menahan empat suspek untuk kes Baling dan mereka dibawa ke IPD Petaling Jaya.
Suhakam bertanya apa yang berlaku kepada suspek.
Huzir berkata mereka tiada kaitan dengan Koh dan kesemuanya dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau bagaimanapun berkata, suspek mempunyai kaitan dengan individu yang ditembak mati.
11.30am: Suhakam memanggil Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.
Pegawai Suhakam bertanya kepada beliau sama ada beliau tahu tentang kehilangan Koh.
Huzir berkata beliau tahu tentang kehilangan itu daripada laporan harian.
Pada 22 Februari, 2017 Huzir berkata beliau mengadakan mesyuarat dan bertanya kepada SAC Fadzil mengenai kes itu dan diberitahu ia sedang berjalan.
Mah bertanya siapa yang maklumkan perkembangan kes dan Nazir berkata Supari.
11.15am: Gomez memaklumkan panel mereka memiliki bukti Jonathan bertemu pegawai teknikal berkenaan ketika membuat laporan pada 14 Februari.
Gomez berkata, menurut Jonathan pegawai teknikal berkenaan menghantar mesej WhatsApp bahawa terdapat rakaman CCTV.
Beliau berkata penting untuk mengetahui identiti pegawai berkenaan untuk membantu siasatan kes itu.
Mah kemudian meminta pemerhati polis mengesan pegawai yang menghantar mesej berkenaan kepada Jonathan.
Polis bersetuju untuk mengesan pegawai berkenaan.
11.00am: Steven berkata berdasarkan bukti yang diberikan setakat ini, peranan Nazeri hanya menyediakan maklumat (dari sumber) jadi pihaknya tidak dapat melihat apa gunanya menyoal beliau lebih lanjut.
Pemerhati polis bertanya Nazeri bagaimana beliau dapat keputusan kedudukan terakhir Koh dan adakah ia dari sumber polis atau sumber lain.
Nazeri berkata beliau mendapatkan bantuan daripada sumber dan tidak boleh mendedahkan identitinya.
Katanya sumber itu berdaftar di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Pemerhati polis bertanya Nazeri sama ada sumber itu dari dalam kalangan orang awam.
Nazeri berkata ya.
10.20am: Peguam keluarga Koh Jerald Gomez memberitahu Nazeri, beliau dipanggil untuk siasatan itu di bawah Seksyen 14 Akta Suhakam 2009.
Katanya akta itu boleh memanggil sesiapa sahaja di seluruh negara untuk memberi keterangan.
Gomez kemudian bertanya Nazeri sekiranya ia di bawah OSA menyebabkan beliau tidak boleh dedahkan sumber.
Nazeri berkata sekiranya beliau dedahan sumber, ia akan mengganggu tugas mereka (polis).
Steven berkata memanggil Nazeri hanya membuang masa.
Katanya nama Nazeri diberikan sebagai pegawai teknikal tetapi nampaknya maklumat itu adalah daripada orang lain.
Mah kemudian berkata siasatan akan memanggil Supari dan memintanya membawa sumber berkenaan.
Siasatan berehat.
10.15am: Steven bertanya Nazeri apakah peralatan yang digunakan dan bagaimana beliau mendapatkan maklumat.
Nazeri berkata beliau mendapatkan maklumat daripada sumber.
Steven bertanya siapakah sumber berkenaan.
Nazeri berkata beliau tidak boleh menjawab soalan itu.
Mah kemudiannya bertanya Nazeri apa yang dirahsiakan.
Nazeri memohon maaf dan beliau enggan menjawab soalan itu.
10.00am: Peguam keluarga Koh, Steven Thiru bertanya Nazeri mengenai jabatan teknikalnya dan adakah ia termasuk pemeriksaan rakaman CCTV.
Nazeri berkata ya.
Steven bertanya Nazeri adakah beliau terlibat dalam siasatan kes Koh.
Nazeri berkata tidak dan beliau hanya membantu siasatan dari sudut teknikal.
Steven bertanya Nazeri sekiranya beliau ada keluarkan laporan berhubung pengesanan telefon Koh.
Nazeri berkata tiada laporan dikeluarkan.
Katanya, beliau hanya maklumkan Supari secara lisan mengenai lokasi di Taman Mayang.
9.45am: Nazeri kemudian memberitahu panel pada 14 Februari, 2017 Supari memintanya mengesan satu nombor telefon.
Beliau berkata Supari memintanya mendapatkan lokasi nombor telefon berkenaan (telefon bimbit Koh).
Nazeri berkata, beliau mengesan nombor berkenaan dan lokasi terkhirnya adalah di Jalan SS/25 di Taman Mayang.
Pegawai Suhakam bertanya kepadanya tentang pengesanan yang dibuat.
Nazeri berkata beliau hanya membuat pengesanan itu sekali sahaja.
Pegawai Suhakam bertanya kepadanya adakah ia lokasi yang spesifik.
Nazeri berkata, berdasarkan pengalamannya mereka hanya boleh tunjukkan lokasi pada lingkungan jarak 3km hingga 4km.
9.25am: Siasatan Suhakam bersambung dengan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Nazeri Muhammad memberi keterangan.
Beliau pernah berkhidmat di jabatan teknikal IPK Selangor dari 2014 hingga 2017.
Suhakam meminta beliau menjelaskan skop tugasnya.
Nazeri berkata beliau mengendalikan semua kes teknikal dan khususnya komunikasi.
Pegawai Suhakam bertanya sama ada beliau pernah dengar tentang Koh sebelum kehilanganya.
Nazeri menjawab tidak. Beliau hanya dengar mengenainya daripada pegawai penyiasat ASP Supari. – 7 September, 2018
Komen