SAKSI utama bagi kes melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dana SRC International RM42 juta kini diletakkan di bawah kawalan ketat bagi mengurangkan sebarang risiko untuknya memberi keterangan, menurut sumber dalam pasukan khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pihak berkuasa tidak menamakan lelaki berusia 50an itu, yang dilaporkan dipujuk untuk kembali dari Bangkok selepas beberapa bulan melarikan diri.
“Tidak seperti yang lain, kami tidak boleh mendedahkan identitinya kerana ia mungkin akan mengancam nyawa,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.
“Beliau memiliki maklumat berhubung urusan membabitkan RM42 juta yang kini sudah dibawa ke mahkamah,” katanya.
Terdahulu bulan ini, Najib Razak berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) 2001.
Pada 4 Julai , Najib didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung dana RM42 juta milik SRC International, yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB.
Beliau minta dibicarakan atas semua pertuduhan.
Saksi utama itu dilaporkan bersetuju untuk menjadi saksi utama pendakwaan selepas difahamkan beliau membantu pemindahan wang jutaan ringgit melibatkan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Lelaki terbabit juga dilaporkan meninggalkan Malaysia sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke 14 selepas pihak berkuasa mengumumkan akan menyiasat penyelewengan dana daripada 1MDB.
Sumber itu bagaimanapun berkata, saksi yang kini dalam tahanan itu bukan Nik Faisal Ariff Kamil atau Low Taek Jho.
Semakan The Malaysian Insight mendapati mereka yang sebelum ini merupakan ahli lembaga pegarah SRC International adalah Suboh Md Yasin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Mohamed Azhar Osman Khairuddin.
Sebelum ni juga dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan pertemuan dengan Suboh di Indonesia dan sejak itu beliau ditempatkan di bawah program perlindugan saksi.
Nik Faisal masih dicari pihak berkuasa Malaysia dan tidak jelas sama ada pihak berkuasa turut mencari Mohamed Azhar untuk disoal siasat.
Terdapat dua lagi individu dalam senarai dikehendaki SPRM. Mereka dikenali sebagai Mohamed Redzuan Adamshah dari Brickfields, Kuala Lumpur dan Toh Lean Seng dari Jalan Tun Razak, juga di Kuala Lumpur. – 7 September, 2018
Komen