Bekas ketua polis negara Hanif Omar mengakui beliau terpaksa memenjarakan ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang demi menjaga keharmonian negara, lapor akhbar Sinar Harian.
Hanif yang merupakan ketua polis negara dari tahun 1974 hingga 1994 berkata demikian ketika berucap sebagai salah seorang panelis di Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara, di sini, hari ini.
Katanya, beliau sentiasa bertindak tegas terutamanya dalam menghalang sebarang percubaan mengeruhkan keharmonian kaum di Malaysia.
Tegasnya, beliau akan ‘mencantas’ apa saja percubaan ke arah itu tidak kira jika ia datang dari orang Melayu, orang Cina atau kaum-kaum yang lain.
Beliau berkata, tarikh 13 Mei 1969 merupakan sejarah hitam yang tidak boleh dilupakan kerana tarikh itulah kemuncaknya kisah perkauman di Malaysia.
“DAP mahu Malaysia berpecah dua. Kawasan pantai Timur mungkin menjadi milik orang Melayu manakala pantai Barat milik Cina.

“Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.
“Dua tahun dia dalam tu (penjara). Itu cara dia cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi Ketua Polis Negara,” ujarnya.
Selain itu katanya, DAP tidak pernah membantu melawan komunis di Malaysia semasa zaman darurat dulu.
Menurutnya, tiada langsung dasar anti Parti Komunis Malaya (PKM) dilafazkan pemimpin parti itu tatkala pejuang negara berkorban menentang perjuangan komunis.
Tambah beliau, bukan sahaja DAP, Pas juga tidak membantu malah pernah melabel anggota tentera dan polis yang terkorban semasa menentang komunis sebagai ‘mati katak’, bukan ‘mati syahid’.
“Masa lawan komunis dulu, DAP tak pernah membantu. Sepatah dasar anti PKM pun tidak pernah dilafazkan. Pas pun begitu, tak pernah membantu.
“Bila ada khutbah katakan polis dan tentera yang mati lawan komunis dikira mati syahid, Pas cakap bukan mati syahid tapi mati katak,” katanya. – 6 September, 2018.
Komen