Ahli Parlimen, wakil perniagaan kecam kadar gaji minimum


Khoo Gek San

PENGUMUMAN gaji minimum sebanyak RM1,050 oleh Putrajaya bermula Januari tahun depan menerima kritikan daripada kumpulan ahli Parlimen pro-pembaharuan yang menyifatkan usahan itu jauh tersasar daripada gaji RM1,500 yang dijanjikan.

Selain itu, pemain industri untuk mengecam pengumuman kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu yang dianggap tidak kena waktu memandangkan situasi ekonomi negara yang tidak menentu serta bakal menguntungkan pekerja asing, bukannya pekerja tempatan.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dari parti DAP menyifatkan kenaikan itu sebagai ‘satu penghinaan’ terhadap 15 juta tenaga kerja di Malaysia dan tidak mengambil kira kenaikan harga barangan serta perkhidmatan.

Malaysia mula melaksanakan gaji minimum pada Januari 2013 dengan permulaan RM900 untuk Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak. 

Jumlah itu kemudiannya dinaikkan kepada RM1,000 dan RM920 di kedua-dua kawasan pada Julai 2016.

Tarif gaji minimum baharu RM1,050 akan dinikmati oleh semua pekerja di seluruh negara.

Santiago berkata manifesto PH menyatakan gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun akan datang tetapi kenaikan sebanyak RM50 buat masa ini menunjukkan kemungkinan janji itu tidak dapat dikotakan.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata struktur gaji baharu amat penting dalam menangani isu kemiskinan bandar yang semakin membimbangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

Katanya pertumbuhan produktiviti mengatasi peningkatan gaji sejak 1970-an dan gaji minimum RM1,500 akan membantu negara memperoleh pegangan sebanyak 40% pada 2020.

Katanya struktur gaji baharu amat penting dalam menangani isu kemiskinan bandar yang semakin membimbangkan.

“Keluarga miskin akan menanggung derita yang lebih teruk jika struktur gaji baharu tidak memihak kepada pekerja,” katanya.

Senada dengan beliau, ahli Parlimen Petaling Jaya dari parti PKR Maria Chin Abdullan berkata kerajaan perlu mengkaji semula kadar kenaikan gaji dan mengambil kira laporan tahunan Bank Negara pada 2017 yang menyatakan perbelanjaan isi rumah bagi kumpulan B40 semakin bertambah berbanding dengan pendapatan mereka.

Beliau turut memetik laporan Pemantau Ekonomi Malaysia yang disiarkan tahun lalu oleh Bank Dunia yang menyatakan kadar inflasi di Malaysia telah mengatasi kenaikan gaji dengan isi rumah di bandar paling terjejas.

“Setiap penduduk layak untuk menerima gaji yang sesuai bagi membolehkan kita menikmati kehidupan yang baik,” kata Maria.

“Ketika kita mengejar status negara industri, kira perlu bekerja keras untuk memastikan tiada pihak yang ketinggalan dan semua orang dapat menikmati keperluan asas.”

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah mahu setiap penduduk menerima gaji yang sesuai bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan yang baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

Penyelarasan gaji minimum merupakan satu daripada 10 janji kerajaan yang mahu ditunaikan dalam tempoh 100 hari pemerintahan.

Kerajaan PH turut berjanji akan mengkaji kadar gaji setiap dua tahun.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Industri Kecil Sederhana (SME) Kang Hua Keong berkata Putrajaya perlu menunggu ekonomi negara lebih stabil sebelum melaksanakan kadar gaji minimum.

“Kementerian Sumber Manusia memberitahu majikan bahawa mereka akan mengkaji kadar gaji RM1,200 pada 2020.

“Menteri-menteri juga berkata kerajaan sedang melaksanakan langkah penjimatan. Kami tidak faham kenapa mereka (kerajaan) tidak menunggu keadaan ekonomi pulih dan hutang negara berkurangan selain menyatakan dasar pekerja asing yang lebih jelas dan peraturan gaji minimum yang lebih baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya penyelarasan gaji yang bermula pada Januari depan akan mewujudkan persekitaran perniagaan yang tidak mencabar dan bakal mencetuskan inflasi.

Malah katanya pihak majikan terpaksa berdepan dengan kejatuhan nilai ringgit selain pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Kang berkata kira-kira 10,000 sahaja pekerja tempatan yang akan menikmati faedah daripada kenaikan gaji minimum itu.

“Kebanyakan pekerja tempatan memperoleh gaji di atas RM1,200, jadi mereka yang untung adalah pekerja asing,” katanya.

Pihak majikan juga perlu menanggung kos tempat tinggal pekerja asing dan Kang berharap kerajaan boleh membenarkan perniagan SME untuk diberi pelepasan cukai bagi menampung kos tersebut.

Majikan tidak dibenarkan menolak levi pekerja asing, kos penginapan atau elaun daripada gaji minimum.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia menegaskan bahawa gaji minimum hanya boleh dinaikkan dengan peningkatan produktiviti pekerja. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen