Kerajaan komited kekalkan perkhidmatan feri Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menggunakan mesin tiket elektronik untuk menaiki feri di Penang Sentral. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

KERAJAAN akan mengekalkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang walaupun sistem pengangkutan awam itu mengalami kerugian, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pihak kementerian akan mencari jalan untuk meningkatkan perkhimatan ikonik itu dan mengkaji operasi serta model pengangkutan tersebut.

“Kita sedar bahawa perkhidmatan feri memerlukan kos yang tinggi untuk beroperasi sedangkan tambang yang dikenakan murah dan hanya dikutip sehala sahaja. Tetapi perkhidmatan ini perlu diteruskan,” katanya pada sidang media di Penang Sentral hari ini.

Sejak pembukaan Jambatan Pulau Pinang pada 1985, setiap feri yang beroperasi mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM700 setiap kali perjalanan merentasi Selat Pulau Pinang.

Ketika ini, hanya penumpang yang menggunakan feri dari Butterworth ke Pulau Pinang dikenakan tambang iaitu RM7.70 untuk kereta, RM2 untuk motosikal, RM1.20 untuk pejalan kaki dewasa dan RM0.60 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun manakala orang kurang upaya tidak dikenakan bayaran.

Sebelum ini perkhidmatan itu dikenalikan oleh Pelabuhan Pulau Pinang sebelum diambil-alih oleh entiti kerajaan, Prasarana pada 1 Mei tahun ini dan dijenamakan semula sebagai ‘Rapid Ferry’. Hanya enam feri masih beroperasi untuk membawa pejalan kaki dan kenderaan.

Awal bulan ini, Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa Prasarana akan mengeluarkan dana sebanyak RM90 juta bagi menaiktaraf perkhidmatan feri, dan RM21 bilion daripadanya untuk membeli feri penumpang pada 2018 dan 2019.

Prasarana akan membaiki dan memulihkan enam feri yang masih berkhidmat bermula tahun ini dengan anggaran kos RM13.7 juta. – 6 September, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen