Kenapa belum siasat isu kehilangan RM160 bilion, tanah Mindef, kata Najib


Noel Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata nama Allah telah digunakan untuk melemparkan tuduhan ke atas dirinya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

NAJIB Razak mempersoalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih belum memulakan siasatan berhubung dakwaan kehilangan wang Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM160 bilion dan isu penswastaan tanah Kementerian Pertahanan (Mindef) semasa zaman pentadbirannya.

Dalam entri terbaharu dalam laman Facebook pada hari ini, bekas perdana menteri itu berkata kerajaan PH sudah memegang tampuk pemerintahan selama lima bulan dan boleh melakukan siasatan ke atas dua kes tersebut tetapi masih belum melakukannya.

“Mereka boleh merujuk dan membuat siasatan sesuka hati untuk mencari bukti tetapi hingga sekarang, tiada pengumuman ataupun kenyataan pernah dibuat mengenai kedua-dua tuduhan yang amat serius ini,” katanya.

“Saya juga ingin bertanya mengenai dua tuduhan yang amat berat yang dibuat terhadap saya sebelum PRU14.

Katanya, tuduhan Perdana Menteri Dr Mahathir bahawa sebanyak RM160 bilion telah ‘hilang’ dari dana rizab BNM di bawah pentadbirannya adalah tidak benar.

“Jumlah RM31.5 bilion (bersamaan dengan RM100 bilion pada hari ini) yang lesap akibat pertaruhan FOREX ketika beliau menerajui pentadbiran kerajaan pada tahun 90-an sudahpun disahkan oleh RCI.

“Wang rizab antarabangsa BNM RM160 bilion ini bukan hilang atau dicuri tetapi ditukar dari mata wang asing kepada ringgit dalam usaha mempertahankan nilai ringgit pada waktu itu.

“Ia tidak sama dengan kehilangan akibat kalah judi opsyen Forex dalam skandal tahun 1990-an itu.”

Najib berkata tuduhan bekas menteri Rafidah Aziz yang sanggup bersumpah atas nama Allah bahawa 40,000 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan telah diswastakan juga tidak benar.

“Nama Allah telah digunakan untuk melemparkan tuduhan. 

“Ini satu tuduhan palsu yang amat berat yang digunakan untuk menaikkan kemarahan undi tentera sebelum PRU14.” – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen