Kerajaan Pakatan tersepit antara hak asas dan hukum Islam, kata penganalisis


Bede Hong

Salah seorang daripada dua wanita yang dikenakan hukuman sebat di Kuala Terengganu. Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata adalah satu mesej kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa amalan seks songsang tidak wajar diamalkan di negeri Terengganu khususnya dan seluruh negara amnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

Bede Hong

KERAJAAN baharu Pakatan Harapan (PH) kini dilihat ‘terhimpit’ untuk mengekalkan kuasa susulan isu pelaksanaan hukuman sebat ke atas pasangan lesbian di Terengganu, kata penganalisis.

Ini kerana kerajaan perlu memastikan perjuangan hak asasi manusia dikekalkan selain menjaga kepentingan masyarakat Islam yang mahu undang-undang berlandaskan syariah tidak terjejas.

Kumpulan hak asasi mengecam hukuman yang dijalankan oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada Isnin lalu selepas kedua-dua wanita terbabit didapati bersalah melakukan hubungan sejenis.

Hukuman mereka dilaksanakan di hadapan 100 saksi iaitu yang pertama melibatkan hukuman rotan ke atas wanita di bawah undang-undang syariah.

Walaupun kerajaan negeri berhak untuk mengamalkan undang-undang syariah, kerajaan persekutuan juga boleh meminda Akta 1965 (Enakmen Jenayah) Undang-Undang Syariah atau Akta 355 untuk menghapuskan hukuman hotan, kata pakar perundangan.

Kata penganalisis, cabaran sebenar untuk melakukan pindaan adalah memerlukan sokongan majoriti masyarakat Islam.

“Bantahan terhadap hukuman sebat boleh dianggap sebagai usaha campur tangan hal ehwal Islam sekiranya isu ini tidak ditangani dengan baik,” kata penganalisis politik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi. 

“Ia memerlukan sokongan majoriti masyarakat Islam. Hanya disebabkan hukuman sebat dianggap sebagai zalim, tidak mudah untuk semua masyarakat Islam menerima tanggapan tersebut.

“Bagaimanapun masih ramai percaya hukuman rotan merupakan sebahagian ajaran Islam. Tambahan pula kuasa kerajaan negeri untuk melaksanakan hukuman sedemikian sudah termaktub sejak sekian lama dalam undang-undang Islam di Terengganu,” katanya. 

Usaha meminda undang-undang itu di Parlimen boleh menjejaskan sokongan terhadap kerajaan PH terutamanya di neger-negeri yang majoritinya dihuni oleh orang Melayu.

“Tambahan pula Terengganu merupakan negeri pembangkang dan Putrajaya tidak ada hak mencampuri undang-undang negeri lebih-lebih lagi bukan di bawah kerajaan pusat.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menerusi satu kenyataan hari ini berkata hukuman sebat tidak melambangkan imej Islam yang baik, sebaliknya mencadangkan kaedah kaunseling kepada dua wanita terbabit.

“Pindaan terhadap Akta 355 lebih sukar berbanding menghentikan hukuman rotan di khalayak ramai,” kata Felo Institut Pulau Pinang Wong Chin Huat yang merujuk kepada undang-undang tersebut yang memperkasakan mahkamah syariah untuk menangani kesalahan mengikut undang-undang Islam. – 6 September, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen