PAS, Umno tak mahu ulang kesilapan di PRK Seri Setia


SM Amin

DUA parti terbesar Melayu-Islam, Umno dan PAS nekad untuk bekerjasama lebih erat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia agar tidak dikecewakan lagi seperti di Sungai Kandis.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri berkata, kerjasama dengan PAS dalam PRK pada 4 Ogos lalu tidak mendatangkan hasil yang sepatutnya kerana ia masih sangat longgar.

“Kerjasama kali ini lebih mantap kerana pengalaman di Sungai Kandis. Kita dah ada pengalaman pertama dan pengalaman kedua lebih baik dari segi kerjasama tersebut.

“Dalam PRK Sungai Kandis, kita sama-sama setuju Umno letak calon, PAS tak letak calon dan kita pun bekerjsama sama-sama walaupun tidak terbuka seperti ini. 

“Ini kerana ia PRK pertama kita kerjasama dan tidak pernah sebelum ini tentulah kekok di peringkat permulaan walaupun dah ada kerjasama,” katanya dalam sidang media di pejabat PAS Selangor di Shah Alam. 

Dalam sidang media sama, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata kerjasama di Seri Setia bersejarah kerana dua parti terbesar dan tertua di negara bekerjasama demi kesatuan suara pembangkang.

Jelas Sallehen, kerjasama ini bagi menjadikan Seri Setia sebagai referendum untuk rakyat menyatakan rasa tidak puas hati pada kerajaan.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata kerjasama di Seri Setia bersejarah kerana dua parti terbesar dan tertua di negara bekerjasama demi kesatuan suara pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

Kerjasama itu juga akan diteruskan pada masa akan datang untuk membela nasib orang Melayu dan bagi menentang kerajaan yang didakwanya mengganggu kehidupan orang Islam.

“Bentuk kehidupan umat Islam bercelaru dengan fahaman yang masuk. Bukan setakat liberal yang bebas, (tetapi) amalan Syiah terbuka mengancam akidah. Itu saya fikir isu lebih besar dari kekuasaan (orang Melayu).

“Banyak tindak tanduk PH menggugat kesejahteraan rakyat. Jadikan PRK ini referandum rakyat bagu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan janji palsu mereka,” katanya.

Umno menyokong calon PAS, bekas exco Selangor Dr Halimah Ali yang ditentang calon parti kerajaan, Halimey Abu Bakar.

Seramai 52,650 pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam PRK Sabtu ini. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen