Presiden UIAM perlu jamin kebebasan, kata Syed Saddiq


SM Amin

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman turut membangkitkan amalan di universiti itu sebelum ini yang menyekat kebebasan kakitangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 September, 2018.

SIAPA pun yang dilantik menjadi presiden UIAM perlu menjamin kebebasan akademik dan hak bersuara pelajar serta kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kata Syed Saddiq Abdul Rahman.

Menteri belia dan sukan itu berkata, perkara itu sepatutnya menjadi tumpuan dalam perdebatan mengenai pelantikan Menteri Pendidikan Maszlee Malik ke jawatan presiden UIAM.

Syed Saddiq turut membangkitkan amalan di universiti itu sebelum ini yang menyekat kebebasan kakitangan.

Malah beliau turut menjadi mangsa apabila dibuang kerja oleh UIAM kerana lantang menyuarakan pandangan mengenai isu melibatkan dasar kerajaan.

“Perkara yang paling mustahak adalah bukannya siapa yang akan terajui. Saya pun dulu pernah hadapi waktu sukar di UIAM untuk menyatakan pandangan secara terbuka sehingga saya dibuang kerja di UIAM dan anak murid saya diugut,” katanya.

Tegasnya, jaminan ke atas perkara itu patut diutamakan untuk pelantikan sebarang jawatan di universiti berkenaan.

“Mereka kena pastikan kebebasan akademik dan hak untuk berekspresi tersebut akan dipelihara dan dipertahankan,” katanya kepada media hari ini.

Pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan yang melihat ia bertentangan dengan manifesto pilihan raya.

Mengulas lanjut perkara itu, Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda Bersatu berkata beliau melihat Maszlee konsisten dalam usaha memastikan universiti dan mahasiswa di negara ini bebas menyuarakan pandangan mereka.

“Maszlee sendiri berkata AUKU akan dipinda, hak untuk berekspresi akan dipelihara, sudut ucapan sedia ada akan ditambah supaya isu hangat dan nasional dapat dibincangkan secara terbuka.

“Untuk beri komen penuh saya kena bercakap dengan Maszlee dahulu. Saya belum sempat berjumpa denga beliau,” katanya.

Syed Saddiq bercakap kepada pemberita di majlis pelancaran program CSR Kunci Rumah Pertamaku di Kuala Lumpur hari ini. – 6 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen