Anak tiri CEO Cradle Fund hanya disoal siasat, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan ditemui mati akibat kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara pada 14 Jun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

TIADA sebarang tangkapan dibuat pada malam tadi yang dikaitkan dengan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan, kata polis hari ini.

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight, dua anak tiri Nazrin hanya disoal siasat dan dibebaskan selepas kenyataan mereka diambil.

Polis menafikan dakwaan laporan berita pada hari ini tentang penahanan anak tiri Nazrin.

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Fadzil Ahmat bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada kedua-dua anak tiri Nazrin dipanggil untuk siasatan.

Mazlan berkata hanya dua suspek iaitu balu Nazrin dan bekas suaminya yang kini ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kes pembunuhan itu.

“Saya tidak mahu berkata apa-apa tetapi hanya dua sahaja suspek yang ditahan setakat ini,” katanya tapa mengesahkan laporan siasatan ke atas dua anak tiri Nazrin malam tadi.

Pada sidang media awal hari ini, Mazlan berkata pihak polis tidak menahan dua anak tiri Nazrin.

Ia susulan laporan yang mendakwa Nazrin mengalami luka di bahagian leher yang dipercayai akibat terkena anak panah.

Turut difahamkan dua anak tiri mangsa berlatih memanah.

Nazrin ditemukan mati susulan kebakaran yang berlaku di bilik rumahnya di Mutiara Damansara pada 14 Jun lalu.

Keluarga Nazrin berkata kebakaran itu berpunca akibat letupan telefon pintar milik mangsa yang sedang dicas.

Malah pihak Cradle Fund turut mengeluarkan kenyataan yang mengatakan kematian Nazrin berpunca akibat kecederaan daripada letupan telefon miliknya.

Namun bulan lalu, polis Selangor mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh susulan penemuan kesan petrol dalam bilik Nazrin.

Nazrin memperoleh kelulusan undang-undang dari Universiti Buckingham, Britain pada 1994 dan merupakan ahli jawatankuasa eksekutif Majlis Eksekutif Pelajar Malaysia di Britain.

Isterinya yang berusia 43 tahun merupakan eksekutif kanan di Malaysian Intellectual Property Corporation. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen