Ramai sokong sebat pasangan lesbian, tapi...


Yasmin Ramlan Zaim Ibrahim

WALAU ramai menyokong hukuman sebat ke atas pasangan lesbian di Terengganu, tidak kurang juga yang tidak setuju pelaksanaannya dipertonton kepada umum.

Hukuman sebat itu juga menerima banyak kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia namun rata-rata individu yang ditemui The Malaysian Insight berpendapat hukuman tersebut wajar dilakukan.

Ada di antaranya berpendapat, biarpun hukuman itu memalukan kedua-dua wanita itu, pasangan tersebut dan juga orang ramai akan mendapat “pengajaran.”

Wazir Ahmed Taqiuddin, 45, berkata jika perkara sedemikian dibiarkan dan dipandang remeh oleh orang ramai, maka kegiatan lesbian akan berleluasa dan keadaan akan jadi lebih teruk.

“Kita perlu lihat masalah ini di peringkat awal. Sekarang agak lambat dan ini adalah melanggari fitrah manusia. Mereka mungkin katakan hak asasi tapi bagaimana dengan orang lain?

“Saya tak nak anak perempuan saya juga jadi seperti itu (lesbian). Kalau perempuan kahwin dengan lelaki dan lelaki kahwin dengan perempuan. Dunia akan tunggang terbalik kalau melanggari fitrah,” katanya.

Wazir berkata, hukuman rotan itu hanyalah simbolik dan pesalah tidak dihukum sehingga berdarah atau menyebabkan kematian.

Untuk kesedaran, tidak dedah wajah

Dua wanita dihukum sebat di hadapan khalayak selepas dijatuhkan hukuman oleh hakim Mahkamah Syariah Terengganu. – Gambar fail, 6 September, 2018.

Hukuman oleh Mahkamah Syariah Terengganu itu mungkin dilihat seperti taktik menakut-nakutkan, tapi beliau yakin ia berkesan untuk mengelakkan kesalahan itu berulang.

Tambahnya, aib kedua-dua pesalah itu masih lagi terjaga kerana wajah mereka ditutup.

Turut senada dengan Wazir, Aina Shamin Bahirol Hisham yang berkata ia wajar dilakukan kerana berpendapatan kegiatan pasangan lesbian dan gay semakin berleluasa di negara ini.

“(Hukuman) itu memang bagus sebab hendak bagi dia sedar. Memang sesuai, memang bagus sebab hubungan sejenis terlalu berleluasa. Sama juga dengan gay,” kata pelajar berusia 20 tahun itu.

Bagi Abu Hurairah Mohamad Yusof, 27, hukuman tersebut wajar namun berbelah bahagi mengenai hukuman yang dilakukan di khalayak ramai itu.

Abu berkata, ia sepatutnya dilakukan secara tertutup, tetapi beliau maklum bahawa hukuman itu dipertonton kepada umum di Terengganu untuk menunjukkan cara pelaksanaan hukuman tersebut dari segi Islam.

“Kita sebagai orang Islam kita tak patut menidakkan apa yang disyariatkan kepada Islam. Yang bukan Islam jangan nampak hukuman ini berat. Pada saya tak burukkan imej Islam sebab itu apa yang dah ditetapkan.

“Kita memang kena patuh apa yang diperintahkan oleh Islam. Hidup kita berpandukan al-Quran dan Hadis. Jadi kita kena setuju (dengan hukuman),” kata pegawai pentadbir itu.

Mengaibkan wanita, tidak adil

Pada Isnin, Mahkamah Syariah Terengganu dengan bantuan pegawai penjara melaksanakan hukuman sebat ke atas dua wanita yang berusia 22 tahun dan 32 tahun itu di depan lebih 100 orang.

Badan peguam serta aktivis hak asasi manusia turut terkejut dengan hukuman sebat yang dijalankan dengan disaksikan orang awam itu.

Menurut Muhammad Nizammuddin Mansor, 31, hukuman itu akan membuka mata masyarakat tentang pelaksanaan hukuman syariah sebenar yang sebelum ini dipandang serong oleh masyarakat.

“Sekurang-kurangnya ada orang yang nampak bagaimana dia (hukuman) dibuat dan ia tidaklah seteruk yang digembar-gemburkan,” kata perunding insurans itu.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan Kamariah Katan yang berpendapat ia sepatutnya dilakukan secara tertutup atau di kalangan ahli keluarga kerana mengaibkan dua wanita tersebut dan tidak adil bagi kedua mereka.

Jelas Kamariah sebagai orang awam, mereka memang tidak mempunyai kuasa sekiranya undang-undang di sesuatu negeri tersebut sudah termaktub hukuman sedemikian, tapi aib pelaku itu harus diambil kira.

“Kalau depan orang ramai memang memalukan mereka sebab sebagai perempuan, maruah dah tercemar. Perkara dah jadi tapi kalau rotan biarlah tertutup atau di hadapan ahli keluarga saja.

“Undang-undang adalah undang-undang tapi mesti tertutup. Jangan bagi malu… kalau sesama keluarga kita pun kita dah rasa malu. Itu antara dia dengan Allah,” kata wanita 45 tahun itu.

Pandangan berbeza dalam Islam

Bagi seorang pekerja bahagian teknologi maklumat (IT), Muhammad Zulfazlan Ismail, 23 tahun, hukuman dikenakan di hadapan khalayak ramai tidak sepatutnya dijalankan.

“Apa yang saya tidak setuju ialah, ia didedahkan kepada orang ramai. Seolah-olah membuka aib, akan menyebabkan dia (pesalah) malu berhadapan dengan orang. Akan memburukkan lagi masa depan dia,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun yakin, hukuman itu mampu memberi kesedaran kepada si pesalah dan menimbulkan rasa takut kepada masyarakat untuk melakukannya.

Sementara itu, seorang pengkaji Islam, Wan Ji Wan Hussin berpendapat, hukuman sebat depan khalayak di Terengganu awal minggu ini boleh memberi imej buruk terhadap Islam.

Menurut pengkaji Islam Wan Ji Wan Hussin, pesalah lesbian tidak semestinya dikenakan hukuman hudud atau takzir. – Gambar Facebook, 6 September, 2018.

Pengarah akademik Saudara Research Centre itu berkata dalam Islam terdapat pandangan berbeza sama ada dosa tersebut boleh dikenakan hukuman.

Katanya, meskipun secara umumnya hubungan seks antara sesama wanita merupakan dosa dalam Islam, ulama berbeza pendapat sama ada pesalahnya boleh dihukum.

Wan Ji berkata, pesalah lesbian tidak semestinya dikenakan hukuman hudud atau hukuman takzir kerana terdapat beberapa perbahasan berasaskan beberapa dalil dan hadis mengenai dosa tersebut.

Bagi pegawai pemasaran, Nurul Rabiatul Adawiyah Mahazi, 25, hukuman itu akan memberi gambaran buruk kepada imej Islam dan melihatnya sebagai satu kekejaman.

Menurut beliau, pesalah terbabit perlu diberi didikan dan amaran terlebih dahulu.

“Sepatutnya bawa (menjalani) kaunseling dahulu, dengan cara yang lembut daripada terus menjatuhkan hukuman,” katanya.– 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen