Hotel taraf tiga bintang ke atas diarah guna bio-digester


Yasmin Ramlan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata ini bertujuan supaya sisa pepejal tersebut terus bertukar kepada baja, di mana secara tidak langsung memelihara alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengarahkan hotel bertahan tiga bintang dan ke atas untuk menggunakan bio-digester bagi sisa pepejal makanan di restoran mereka. 

Menurut menterinya, Zuraida Kamaruddin, ini bertujuan supaya sisa pepejal tersebut terus bertukar kepada baja, di mana secara tidak langsung memelihara alam sekitar. 

“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatanakan) kuatkuasa hotel tiga bintang dan ke atas untuk gunakan bio digester untuk buangan sisa pepejal makanan. Ia perlu ada supaya jadi bersih dan dapat ditukar menjadi baja,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kerajaan tempatan di bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. 

Pada masa sama, beliau juga berkata pihaknya mempertimbangkan supaya pengusaha restoran memasang sink shredder (pengisar makanan) yang digunakan ke sisa makanan bagi mengelakkan kehadiran haiwan perosak. 

“Kita juga bincang tentang tikus di tempat makanan. KPKT mempertimbangkan di  resotran besar letak sink shredder digunakan supaya sampah sisa makanan dikisar dan pergi ke kumbahan. 

“Jadi ia mengurangkan haiwan perosak seperti tikus dan lipas dan mana-mana saja yang boleh bawa penyakit dan kekotoran dalam kawasan itu,” katanya. 

Beliau berkata kedua-dua tersebut akan berkuatkuasa pada 2019. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen