Umno hadir muktamar, PAS hadir perhimpunan agung


SM Amin

Pemimpin Umno dan PAS bersetuju hadir dalam perhimpunan agung tahunan parti masing-masing yang menunjukkan hubungan rapat di antara kedua-duanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

PAS dan Umno akan mengukuhkan kerjasama dengan saling memenuhi undangan untuk menjadi pemerhati ke mesyuarat agung parti masing-masing.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri mengumumkan demikian selepas mesyuarat di antara Umno Selangor dan PAS negeri itu hari ini berhubung bentuk kerjasama yang akan dilakukan kedua-dua parti.

Katanya Umno akan hadir dalam Muktamar PAS di Terengganu pada pertengahan bulan ini dan PAS juga sedia hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU), juga pada bulan ini.

“Kalau Umno dijemput untuk hadir ke muktamar, kita akan hadir dan saya pun dimaklumkan oleh timbalan presiden PAS, (Tuan Ibrahim Tuan Man) jika PAS dijemput, PAS juga akan hadir  

“Jadi saya maklumkan Umno akan menjemput PAS jadi saya percaya PAS akan jemput Umno. Jadi saling hadir menghadiri di muktamar dan PAU nanti,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media di Pejabat PAS Selangor di Shah Alam itu adalah bersama Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi. 

Naib Presiden Umno Ismail Sabri berkata kerjasama dengan PAS akan dibincangkan semasa Perhimpunan Agung Umno bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight file, 6 September, 2018.

Ditanya mengenai sama ada kedua-dua sudah menghantar surat jemputan, Ismail dan Sallehen berkata perkara itu boleh dirujuk dengan setiausaha agung parti masing-masing.

Mengulas mengenai perbincangan kerjasama antara kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu, Ismail memaklumkan ia akan dibincangkan dalam PAU.

“Tapi dari segi perbincangan dan sebagainya kita akan berbincang sewaktu perhimpunan nanti apa hala tuju dengan PAS nanti,” kata Ismail. 

“Setakat ini tidak ada, itu tunggu kita dalam muktamar nanti,” sambung Sallehen.

Kedua-dua parti itu dilihat semakin akrab terutama dalam dua pilihan raya kecil di Selangor yang berlangsung dalam tempoh 100 hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, PAS berkempen untuk calon Umno manakala di DUN Seri Setia yang akan mengundi hujung minggu ini, Umno berkempen untuk calon PAS.

Pada 31 Ogos lepas, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi pentas dalam sebuah ceramah di Seri Setia. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen