PUTRAJAYA akan meneliti semula polisi kerajaan negeri Johor berhubung kuota 70% pemilikan hartanah warga asing di Forest City, kata Zuraida Kamaruddin.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, ini bagi mengelakkan penduduk tempatan di negeri itu dipinggirkan daripada memiliki kediaman canggih di Forest City.
“Buat masa ini, yang menjadi tumpuan kita adalah projek Forest City melalui polisi kerajaan negeri membenarkan pemilikan kepada warga asing sehingga 70%. Jadi isu ini kita perlu kaji dan teliti.
“Kita tengok apa cara yang terbaik untuk penduduk tempatan tidak dipinggirkan dan juga keuntungan kepada orang tempatan.
“Supaya penduduk tempatan di Johor iaitu bangsa Johor boleh menikmati pembangunan canggih dan maju yang digunakan,” katanya.
Zuraida turut menegaskan tiada polisi yang menyatakan bahawa warga asing akan memperolehi visa dengan pembelian kediaman tersebut.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat kerajaan tempatan di bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Selain itu, kerajaan juga akan memperketat kelulusan program Malaysia Rumah Kedua bagi mengelakkan warga asing menyalahguna visa, kata Zuraida.
Tegasnya, kerajaan tiada sebarang polisi yang membenarkan warga asing memperolehi visa dengan pembelian kediaman tersebut.
“Visa dan Malaysia My Second Home di bawah Kementerian Dalam Negeri. Kita minta ketika ini mereka perketatkan dari segi kelulusan Malaysia My Second Home dan juga visa,” katanya.
Tindakan kerajaan untuk mengetatkan syarat tersebut ekoran kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa warga asing tidak akan mendapat visa semata-mata dengan membeli hartanah di kawasan Forest City.
Dr Mahathir sejak tahun lalu menimbulkan kebimbangan bahawa hartanah di kawasan seluas 1,385 hektar di Wilayah Iskandar itu akan dimiliki orang asing.
Program Malaysia Rumah Kedua itu membolehkan warga asing yang layak tinggal di Malaysia selama mana yang mereka mahu dengan menggunakan pas lawatan sosial.
Pemohon disyaratkan untuk membeli harta kediaman mengikut harga minimum setiap negeri.
Di Johor, warga asing yang menyertai program tersebut dibenarkan untuk membeli hartanah bernilai sekurang-kurangnya RM1 juta.
Zuraida juga berkata beliau hanya bertemu dengan Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dan tidak dapat berjumlah pemaju Forest City pada Isnin lalu.
Katanya, perjumpaan tersebut merupakan laporan awal mengenai status dan fakta mengenai projek tersebut.
“Saya akan teruskan fact finding saya lepas itu baru boleh beri laporan kepada (perdana menteri). Macam mana kita hendak atasi isu Forest City,” katanya. – 6 September, 2018.
Komen