SPAD akan bentang pilihan lain untuk LRT Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengurusan tertinggi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dihantar untuk memberi taklimat kepada kerajaan Pulau Pinang mengenai penemuan dan kajian cadangan terbaru itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 6 September, 2018.

CADANGAN Transit Aliran Ringan (LRT) di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dikritik pergerakan masyarakat sivil negeri mungkin akan digantikan dengan sistem kereta api lain.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengurusan tertinggi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dihantar untuk memberi taklimat kepada kerajaan Pulau Pinang mengenai penemuan dan kajian cadangan terbaru itu.

“LRT mungkin bukan pilihan terbaik. Kita ada cadangan lain yang kita mahu bentangkan kepada negeri,” katanya pada sidang media di Pulau Pinang hari ini selepas menyaksikan majlis menandatangani usaha kerjasama antara Pelabuhan Pulau Pinang dan Royal Caribbean Cruises bagi membangunkan Terminal Swettenham Pier Cruise.

Pulau Pinang merancang pembinaan LRT untuk menghubungkan bandar Georgetown dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

“Kami menyokong inisiatif negeri untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam. Tetapi soalnya sekarang sama ada ia akan menjadi projek LRT, atau tram atau jenis lain,” kata Loke.

“Negeri akan menentukan apa yang dimahukan. Kemudian kita akan membincangkan dengan lebih lanjut,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri terbuka kepada pilihan yang ada dan akan meneliti pandangan SPAD.

Katanya, SPAD sudah meminta Pulau Pinang menunggu hasil kajian pengangkutan awam untuk kawasan utara negara.

“Kami akan teliti pandangan mereka. Kami bersedia untuk berbincang, dan pembiayaan diuruskan. Kami terbuka kepada pilihan.

“Di sesetengah negara, LRT dikenali sebagai tram dan sebaliknya. Perdebatan sekarang adalah sama ada sistem kereta api yang digunakan adalah yang terapung atau berjejak atau sama ada ia mempunyai landasan sendiri atau tidak.”

Sebelum itu, Loke turut mengesahkan yang peluasan Lapangan Terbang Pulau Pinang akan diteruskan walaupun pihak berkuasa masih tidak memutuskan bagaimana ia akan berlaku. – 6 September, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen