Tiada semak dan imbang kerana Najib terlalu berkuasa, kata Daim


Yasmin Ramlan

Daim Zainuddin berkata kuasa Najib Razak sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi 1MDB terlalu besar sehingga tidak wujud semak dan imbang pentadbiran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

PENTADBIRAN negara hilang upaya semak dan imbang serta tadbir urus yang betul kerana kuasa perdana menteri sebelum ini terlalu besar, kata Pengerusi Majlis Penasihat Negara Daim Zainuddin.

Beliau mengaitkan skandal syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipengerusikan bekas perdana menteri yang juga menteri kewangan, Najib Razak.

“Dari dulu saya dah bagi pandangan saya, perdana menteri jangan jadi menteri kewangan.Terlampau kuat, terlampau berkuasa. 

“Bila jadi menteri kewangan (pada masa sama perdana menteri), tiada semak dan imbang, tiada tadbir urus,” katanya dalam satu wawancara disiarkan TV3 pada malam tadi.

Jelasnya, Perkara 117 dalam Memorandum Pertubuhan 1MDB jelas menyatakan bahawa setiap keputusan pelaburan dan hutang syarikat itu perlu melalui perdana menteri.

Ia turut menetapkan bahawa semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan 1MDB yang boleh mempunyai kesan kepada jaminan kerajaan perlulah mendapat kelulusan perdana menteri waktu itu.

Jelas Daim, kuasa Najib itu terlalu besar dan tiada pihak dapat menyemaknya, hinggakan ahli Kabinet yang mempersoalkan urusan 1MDB termasuk Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal tersingkir, katanya.

“Mana tadbir urusnya? Mana semak imbangnya? Dialah perdana menteri, dia menteri kewangan. Kabinet tak berani bersuara, bila disoal macam Muhyiddin dan Shafie, dibuang (dari Kabinet),” katanya.

Katanya, pemimpin yang diberikan mandat oleh rakyat juga perlu bertanggungjawab dan tidak bersifat tamak haloba sehingga membebankan rakyat. 

“Dalam kepimpinan yang ada integriti, nilai moral yang tinggi, dia mesti ingat dia dipilih oleh rakyat. Tanggungjawab dia kepada rakyat. Tapi akhirnya bila tamak haloba, habislah. 

Semua urusan 1MDB perlu menerusi bekas perdana menteri Najib Razak seperti termaktub dalam Memorandum Pertubuhan 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

Beliau turut mengimbas semula kejadian pada malam pilihan raya 9 Mei dan kes wang tunai berjumlah hampir RM120 juta dirampas di Pavilion Residence yang dikaitkan dengan Najib. 

Pada malam itu, seramai 17 pengawal keselamatan didakwa mengambil sejumlah RM3.5 juta wang tunai dipercayai dana pilihan raya di pejabat perdana menteri. 

Daim kecewa kerana ia memberi gambaran buruk kepada sikap orang Melayu dan Islam di negara ini.

“(Ini) orang Melayu, orang Islam. Mana kita punya pelajaran tentang Islam? Mana nilai moral kita? Mana dia? Apa dah jadi kat kita ni? Kenapa kita perlu rosakkan masyarakat kita? Mana boleh,” kata Daim. 

Tambahnya, negara perlu berterus-terang mengenai keadaan kewangan negara sedia ada terhadap pelabur, meskipun terdapat pihak berkata pendedahan hutang negara sebanyak RM1 trillion akan memberi kesan buruk. 

Jelasnya, langkah berterus-terang itu juga satu usaha pembaharuan kerajaan dan untuk membanteras rasuah dalam kerajaan.

Bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin antara mangsa 1MDB yang disingkir pentadbiran Najib Razak kerana secara terbuka mempersoalkan skandal kewangan rentas negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

Katanya, lebih baik bersikap terus-terang daripada menipu bahawa semuanya dalam keadaan baik padahal keadaan sebenar adalah sebaliknya. 

“Kalau kita sembunyikan buat apa? Nanti semua terkejut. Jangan sembunyi, kita kena beritahu ini keadaan sebenar,” katanya. 

Kerajaan pada Mei lalu mendedahkan hutang negara berjumlah lebih RM1 trillion atau lebih 80% berbanding Keluaran Dalam Kasar Negara Kasar (KDNK) Malaysia setakat 31 Disember 2017. 

Dari jumlah tersebut, RM686.8 bilion merupakan hutang kerajaan Persekutuan bersama, 50.8% dari KDNK.

Pada bulan lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga mendedahkan kerajaan masih berhutang lebih kurang RM16 bilion bayaran balik kepada pembayar cukai.

Bayaran balik itu, yang tertunggak sejak enam tahun lalu, terhutang kepada syarikat (RM12.41 bilion) dan pembayar cukai perseorangan (RM3.62 bilion). 

Selain itu pentadbiran Najib juga tidak membayar RM18 bilion cukai input, yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga di bawah sistem GST.

Lim berkata, wang itu dirompak oleh kerajaan BN kerana telah dibelanjakan, sedangkan ia sepatutnya dipulangkan kepada peniaga terbabit. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen