PENULIS blog politik Ratu Naga berharap akan mendapat jawatan dalam PKR selepas menabur bakti sehingga membolehkan parti itu menang banyak kerusi dalam pilihan raya umum 9 Mei.
Ratu Naga yang nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah itu bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dengan membawa agenda memperjuangkan kebajikan anggota parti.
Syarul Ema, 38, berkhidmat sebagai penulis blog Barisan Nasional (BN) yang bertugas menyerang pembangkang sejak 2009. Segalanya berubah apabila beliau menyertai PKR pada 2016.
Beliau kini berharap PKR akan menerima anggota baharu sepertinya yang telahpun membuktikan usaha menumbangkan Umno dan BN.
“Saya sudah buktikan apa yang terbaik yang saya dah buat untuk lakukan perubahan. Dan janji saya dah tunaikan untuk bantu terbalikkan BN. Saya dah laksanakan, lakukan lebih baik daripada itu.
“Saya minta ahli parti jangan terlampau menolak ahli-ahli baru. Andai kata orang baru tapi dia beri kebaikan kepada anda terimalah dengan hati terbuka bukan dengan penolakan.
“Sebelum buat keputusan, kenali betul-betul. Tak kenal maka tak cinta,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.
Syarul Ema yang mempunyai lebih 50,000 pengikut di Facebook menyertai PKR pada 2016 di bawah kepemimpinan Ketua Wanita Zuraida Kamarudin.
Ibu kepada seorang anak ini mengakui, ada sesetengah pihak pada waktu itu menganggap beliau sebagai liabiliti kepada parti.
Mengimbas kembali peranannya sebelum ini, Syarul Ema berkata beliau menerima pelbagai kecaman kerana mempertahankan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Tapi bila GST dimulakan, harga barang melantun naik. Apa yang kita diberi (maklumat) semua tak betul. Saya kena maki dengan seluruh rakyat Malaysia yang mengenali saya dekat FB. Saya tak boleh tahan,” katanya lagi.
Tambahnya, disebabkan menyebarkan maklumat tidak betul tentang GST, dirinya jadi mangsa buli dan sejak dari itu beliau mahu membetulkan keadaan.
“Saya kena hentam berbulan-bulan tanpa henti. Takkanlah saya tak terasa. Ikutkan hati, saya nak tutup saja akaun tapi saya kena bertanggungjawab dengan apa saya dah buat. Saya kena perbaiki,” katanya.

Jelasnya, beliau kini menulis secara berfakta dan tidak lagi menjadi blogger yang sering menyebarkan fitnah seperti ketika beliau menyokong Umno.
“Ini cerita dua tahun lepas. Masa awal-awal saya masuk semua hentam Zuraida kerana membawa saya masuk dalam PKR.
“(Zuraida) ada pesan, ‘kau jangan buat perangai kau macam dalam Umno’. Tapi itu memang saya tinggal (propaganda fitnah). Jadi sejak dari itu, saya (tinggalkan amalan menulis fitnah),” katanya.
Beliau akui, bukan mudah untuk perolehi undi pada pemilihan kali ini memandangkan beliau bertembung dengan nama-nama besar dan ahli yang lebih lama dalam parti berbanding dirinya.
Seramai 86 calon yang merebut 20 kerusi MPP itu termasuk Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Titiwangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Oleh itu beliau cuba meraih sokongan dengan berkempen untuk menjaga kebajikan ahli parti dari golongan berpendapatan rendah.
“Kita kena kenal pasti berapa ramai golongan B40 di kalangan 800,000 ahli,” katanya yang juga mengetuai satu NGO kebajikan yang membuat kerja amal. – 6 September, 2018.
Komen