Rotan dan pembodek Tuhan


Mohd Syazreen Abdullah

PESAN Tuhan kepada umat manusia, kasihilah – mengasihi Tuhan, mengasihi sesama insan; tidak sesekali Tuhan mengajar umatnya mengimami bentuk kekerasan.

Begitulah antara fungsi syariah yakni mengasihi dengan memelihara hak asasi manusia sejagat. Itulah agama – melindungi kelestarian manusia demi hidup yang lebih sempurna dan memaknai keberagaman serta saling memerlukan antara satu dengan lain.

Setiap manusia mesti dijaga maruah mereka tanpa mengira bangsa, agama, apatah lagi naluri seksualiti. Setiap orang harus dihormati dan diiktiraf keberadaan mereka dan mendapat layanan saksama daripada semua pihak termasuklah kelompok yang terpinggir atau golongan minoriti.

Malangnya, peristiwa sebaliknya pula terjadi.

Sepasang wanita dikenakan hukuman sebat di Terengganu selepas mengaku bersalah cuba melakukan hubungan sejenis.

Sebatan terhadap dua wanita berumur 32 dan 22 tahun itu dipamer di depan kira-kira 100 orang. Ini pertama kali wanita disebat mengikut undang-undang syariah di Terengganu.

Maka, ramailah bersorak-sorai kerana gembira. Hukum Tuhan sudah terlaksana! Islam telah dimartabatkan! Ini warning kepada kelompok seperti LGBT – tiada tempat buat mereka di bumi Allah.

Ironi, sungguh ironi.

Betapa Allah tidak pernah memberi hak kepada sesiapapun untuk “ikat mati”’ hukum-hakam hingga akhir zaman, sebaliknya manusia boleh membuat pertimbangan mengikut keadaan perkembangan dan peralihan zaman.

Syariah seharusnya mengalihkan hukum dari primitif – bersifat barbarik – kepada lebih baik dan manusiawi. Kembali kepada undang-undang yang menjatuhkan maruah dan memalukan individu, itu tidak bertamadun.

Bukan soal sakit atau tidaknya sebatan itu, tetapi salahnya kerana mengaibkan manusia di hadapan manusia lain yang ramai bilangannya. Itu melanggar hak dan menjatuhkan maruah individu itu.

Apakah tujuan hukuman dilaksanakan seumpama itu? Adakah untuk dipekikkan seantero dunia –  kamilah orang-orang yang telah melaksanakan suruhan Allah!

Tetapi, bukankah syariah mendidik manusia dengan bermaruah?

Apalah gunanya melaungkan Islam tetapi bertindak sebegitu keji. Hanya mulut ligat memuji dan memuliakan Allah, namun bertingkah keras merobek maruah manusia, kononnya sebagai pengajaran. Ajaran Islam bukan begitu.

Islam sangat menjaga kehormatan dan bersifat melindungi walaupun terhadap pelaku dosa berat sekalipun. Tanpa memikirkan penderitaan mental bakal dialami wanita berkenaan – tindakan sebatan sebenarnya dilakukan semberono dan mencabul hak asasi manusia.

Hukuman sebat terhadap dua wanita di depan khalayak adalah kali pertama seumpamanya berlaku mengikut undang-undang syariah di Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

Lesbian bukan zina

Lebih mustahak, apakah hukuman terhadap wanita lesbian itu sama seperti hukuman terhadap penzina?

Gagal memahami ayat hukum boleh menimbulkan kegopohan makna. Buktinya, konsep nasikh dan mansukh (pembatalan ayat dan diganti dengan ayat yang baharu) dipakai oleh sekelompok tafsiran konservatif.

Dalam ayat hukum atau perundangan – penggantian hendaklah dengan syarat ia digantikan dengan lebih baik, bukan menjadi lebih buruk.

Jika ayat asal tersebut menimbulkan kemudaratan berdasarkan keadaan pada masa itu, ia haruslah digantikan dengan ayat yang membawa kebaikan pada masa ini. Inilah yang disebut konteks dalam memahami tafsiran Quran.

Kadang-kadang terdapat ayat yang tidak lagi relevan dengan perkembangan masyarakat dan sosial hari ini, lalu ia diganti dengan perundangan baru yang lebih baik.

Ini disebut nunsiha iaitu melupakan tetapi syaratnya ia mesti lebih baik (khairunminha).

Contohnya, hukuman zina yang disyariatkan sejak risalah Nabi Musa adalah bunuh tetapi kemudian hukuman itu berubah kepada nada yang lebih lunak pada fasa risalah Nabi Muhamad SAW, bukan lagi dihukum bunuh.

Menurut pandangan konservatif, ayat kedua surah an-Nur telah menggantikan ayat 15 dan 16 surah an-Nisa’ – bahawasanya yang dimaksudkan hukuman perempuan yang melakukan perbuatan keji (pada ayat 15) di-nasakh-kan dengan hukuman sebat terhadap perempuan yang berzina dengan lelaki, sedangkan ayat 15 surah an-Nisa berbicara tentang batasan hubungan antara sesama perempuan (lesbian) dan hukumannya adalah mengurung setelah semua persaksian dipenuhi.

Jadi, perbuatan terlarang yang dimaksudkan bukanlah perbuatan zina. Zina adalah hubungan antara laki-laki dan perempuan tanpa ada ikatan yang syarie.

Hukuman perbuatan zina pada ayat kedua surah an-Nur menggunakan konsep insa’ atau nunsiha iaitu melupakan hukum-hakam yang disyariatkan pada waktu terdahulu ― dari syariat Nabi Musa ― berubah kepada syariat Nabi Muhammad.

Oleh sebab perubahan zaman dan sejarah, hukuman yang berat pada zaman Nabi Musa menjadi lebih ringan dalam syariat Nabi Muhammad.

Kembali kepada konteks perbincangan, ayat tersebut bukanlah menggambarkan hukuman untuk perilaku lesbian sebaliknya terhadap laki-laki dan perempuan yang berzina.

Pandangan lain seperti Ibn Quddamah dalam kitab al-Mughni menyebut perilaku lesbian tidak ada “ilaj” (tenggelam kepala zakar dalam kemaluan). Maka tidak dikenakan hukuman hudud.

Akhirnya, kesilapan pemahaman tersebut mengundang sebuah produk tirani pada masyarakat. Inilah beberapa bentuk tirani dalam pengajian Quran yang mengundang kebobrokan berfikir, seperti menggunakan konsep nasikh dan mansukh.

Perkara ini disebutkan oleh pemikir Islam, Muhammad Syahrur dalam kitab Dirasat Islamiyyah Mua’sshirah.

Inilah kecelakaan yang pernah menimpa orang Arab dan Islam kerana mereka gagal berinteraksi dengan risalah nabi. Gejala kecelakaan tersebut turut menimpa kelompok ahli fikah, dan hadis.

Mereka terus hidup dalam ketidakjelasan, semata-mata didasari keyakinan, bukan bertiangkan ilmu. Walhal, setiap kali peradaban mencapai kemajuan, di situlah perlunya keterbukaan dalam berijtihad – dan syariah mengacu kepada al-haniffiyyah.

Tirani agama

Tirani agama bukanlah hal yang baru; tirani agama sudah lama ada. Seperti disebut Abdul Malik Marwan: “Saya tidak ingin mendengar seseorang yang berkata kepadaku “bertakwalah kepada Allah, kecuali kupukul tengkuknya”.

Begitu juga Abu Ja’far al-Mansyur yang melaungkan: “Sesungguhnya kami menghakimi kalian dengan kekuasaan Allah’’. Sejak itulah ayat yang terkait dengan jihad dan pedang mula berkembang.

Kekuasaan tirani mengambil justifikasi hak Allah dalam menyampaikan hukum, dengan dalil sebagai utusan wakil Tuhan. Mereka ini gagal memahami kehendak dan tujuan syariah, misalnya memahami syariah di luar konteks zaman.

Hukuman rejam datang bagi masyarakat yang bersikap patriarki dan perkauman yang tebal, sedangkan nabi tahu hukuman itu pasti akan dilupakan melalui peredaran tahap kemajuan atau peradaban masyarakat tersebut. Pelaksanaan hukuman akan lebih difikirkan mengikut kesesuaian.

Perundangan Islam tidak perlu menoleh hukum terdahulu, sebaliknya ayat hukum berkembang dan menyesuaikan perkembangan zaman. Hukuman masyarakat pada zaman dahulu, tidak boleh diterapkan sama dengan masyarakat zaman kini.

Konsep nunsiha (melupakan) dan menggantikan ayat dengan konteks yang lebih baik adalah bukti betapa Allah tidak pernah sesekali memberi hak kepada sesiapa untuk membekukan makna syariah yang cair umpama sungai mengalir.

Paling penting, ia mengajar kita bahawa syariah bersifat sejarah dan fleksibel. Justeru, kita harus berani untuk berijtihad.

Kesilapan meletakkan ayat hukum yang tidak tepat dengan konteks sebenarnya suatu kezaliman. Anehnya, kelompok tersebut meletakkan jargon-jargon seperti rahmah, merawat beban dosa sebagai modal atas nama pengajaran dengan bersandarkan hadis ahad, fatwa ulama.

Hakikatnya mereka menyeksa individu seakidah. – 6 September, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen