KEKECOHAN kes sebat dua wanita di Terengganu, yang menerima banyak kritikan tempatan dan antarabangsa, mungkin menjadi permulaan bagaimana parti politik berjuang untuk memenangi undi masyarakat Melayu-Islam dalam pilihan raya akan datang.
Penganalisis berkata perdebatan hangat mengenai kejadian itu mewakili pembahagian antara pengundi Melayu liberal dan konservatif.
Walaupun hukuman sebat itu mendapat kecaman hebat daripada aktivis hak asasi manusia, ia hampir tidak menjadi masalah bagi mereka yang tinggal di Terengganu dan negeri jiran Kelantan, dua negeri yang dikuasai oleh parti Islam PAS.
Menurut undang-undang syariah di Kelantan dan Terengganu hubungan sesama jantina adalah satu kesalahan dan rotan menjadi hukumannya.
Sehari selepas hukuman sebat di Terengganu dijalankan, kerajaan negeri Pahang yang dipimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan hasratnya untuk menguatkuasakan hukuman sebat bagi pesalah LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) beragama Islam.
Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata hukuman sebat itu selari dengan peruntukan syariah di bawah undang-undang Terengganu tetapi juga bertujuan meletakkan PAS sebagai parti pilihan yang tidak dapat dinafikan bagi umat Islam.
Beliau berkata hasrat Pahang untuk mengikuti jejak langkah Terengganu mungkin menunjukkan Umno mahu memperbesarkan kelayakan Islamnya.
“Ini bermakna Umno tidak mahu dilihat melanggar undang-undang agama apabila PAS mendapat sokongan orang Melayu (daripada kejadian itu).
“Ia menjadi hal yang menarik untuk melihat apa yang Pahang lakukan. Undang-undang syariahnya hampir sama dengan Terengganu dan terdapat kes pada 2010 di mana sultan menukar hukuman sebat terhadap seorang wanita Islam yang minum bir kepada tugas khidmatan masyarakat.”

Faisal S. Hazis, profesor bersekutu Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata masalah LGBT dilihat oleh beberapa orang sebagai percubaan golongan liberal untuk mengikis nilai konservatif dan agama.
“Dalam beberapa bulan terakhir, isu LGBT mendapat banyak perhatian, dengan banyak ceramah umum. Pihak berkuasa agama negeri mungkin mengambil sikap tegas terhadap isu itu.
“Terdapat kebimbangan yang keterbukaan dan liberalisme dalam masyarakat boleh mengikis nilai konservatif, agama dan tradisi,” kata Faisal, yang mengetuai Pusat Pengajian Asia (iKAS) di UKM.
Bulan lepas, penganjur pameran fotografi bertemakan Merdeka di Festival George Town terpaksa menurunkan potret dua aktivis LGBT terkenal selepas menerima beberapa aduan.
Bulan lalu, polis dan pihak berkuasa agama menyerbu Blue Boy, sebuah kelab malam kecil di Kuala Lumpur yang terkenal dengan komuniti LGBT.
Kelab malam itu beroperasi sejak bertahun lalu tanpa menghadapi sebarang masalah dengan pihak berkuasa. – 6 September, 2018.
Komen