DUA anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan ditahan pada jam 9.30 malam tadi, berhubung kematiannya yang aneh.
Sumber polis daerah Petaling Jaya memberitahu The Malaysian Insight, kedua-duanya ditahan selepas leher Nazrin ditemui dengan kecederaan yang dipercayai berpunca daripada anak panah. Kematiannya diklasifikasikan sebagai pembunuhan.
Difahamkan dua anak lelaki tirinya itu terlibat dengan aktiviti memanah.
“Kedua-duanya masih bersekolah menengah dan ditahan di rumah datuk mereka pada pukul 9.30 malam. Siasatan kami mendapati terdapat tebukan di leher (mangsa) yang disebabkan oleh anak panah,” kata sumber itu.
Ibu mereka ditangkap dua hari lalu bersama bekas suaminya. Polis memperoleh perintah reman selama tujuh hari terhadap mereka berkaitan pembunuhan itu pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya.
Sumber polis mengesahkan wanita itu - Samirah Muzaffar - adalah anak perempuan kepada saintis politik terkenal dan aktivis hak asasi sivil Chandra Muzaffar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat memberitahu The Malaysian Insight lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Sepang, Selangor, disusuli dengan penangkapan wanita di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur sejam kemudian.
“Lelaki yang ditahan itu adalah bekas suami wanita yang kami tahan. Beliau juga merupakan balu si mati (Nazrin),” kata Fadzil.
Nazrin ditemui mati selepas bilik tidur di rumah teres dua tingkatnya di Mutiara Damansara terbakar sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Keluarga Nazrin berkata telefon bimbitnya meletup dan menyebabkan kebakaran.
Cradle Fund juga mengeluarkan kenyataan yang mengatakan CEO itu meninggal dunia akibat kecederaan letupan telefon bimbit yang dicas bersebelahannya.
Bagaimanapun, bulan lalu, polis Selangor mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan selepas penyiasat menemui kesan petrol di bilik Nazrin.
“Kami dimaklumkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas keputusan makmal menunjukkan kesan petrol di kepala (mangsa), katil dan tilam, serta telefon bimbitnya,” kata Fadzil.
Nazrin memperolehi Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari Universiti Buckingham di United Kingdom pada 1994.
Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif Majlis Eksekutif United Kingdom bagi Pelajar Malaysia (UKEC).
Balunya berusia 43 tahun itu adalah eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia. – 6 September, 2018.
Komen