TINDAKAN mengharam atau mengeksploitasi penyelidikan ke atas daun Ketum akan merugikan negara, kata Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Wan Junaidi, daun Ketum yang mudah didapati di negara ini mempunyai nilai perubatan yang tinggi di seluruh dunia.
“Kalau penyelidikan ini diharamkan, kita akan mengalami kerugian yang besar kerana ianya mudah ditanam dan bernilai tinggi,” katanya hari ini.
Menteri itu juga melahirkan kebimbangan sekiranya penyelidikan dibuat di Amerika Syarikat (AS) dan kemungkinan jika AS mempatenkan hasil penyelidikan.
“Kita hantar banyak (Ketum) ke Thailand dan AS.
“Apa yang saya bimbangkan ialah jika AS melakukan penyelidikan dan mempatenkannya, ia akan merugikan kita,” katanya pada sidang akhbar selepas Rang Undang-undang (RUU) Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu adalah untuk mengawal selia akses kepada sumber biologi negara dan sebagai tambahan kepada peruntukan dan undang-undang sedia ada berkaitan hutan, hidupan liar, haiwan, perikanan dan perdagangan antarabangsa mengenai spesies terancam.
Ia juga untuk melindungi penyelidikan yang dibuat ke atas produk biodiversiti daripada dipaten oleh negara luar.
“Dengan RUU ini, negara lain tidak akan melakukannya (paten).
Sebab itu RUU ini penting. Pelaksanannya melangkaui kementerian.
“Selagi ia dikategorikan sebagai biodiversiti atau tumbuhan yang ditanam di negara ini, ia akan dilindungi dibawah RUU ini,” tambah Wan Junaidi.
Beliau juga berkata amat maklum pengambilan daun Ketum secara berlebihan akan memberi kesan kepada otak.
“Jadi, kita merancang untuk mengawal peluasan penggunaannya. Kita tak ad masa untuk bincang lanjut tentang hal ini semalam kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan,” katanya. – 1 Ogos, 2017.
Komen