PEMBIDA rakan pelaksana projek (PDP) Malaysia bagi projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) tidak akan dibayar balik walaupun projek berkenaan ditangguh, kata MyHSR Corporation Sdn Bhd.
“Kami tidak menjangkakan sebarang pembayaran semula tetapi mereka perlu faham situasi yang kita hadapi, tambahan projek masa hadapan masih di landasannya untuk disambung semula dan akan ada peluang lain untuk turut serta,” kata ketua pegawai eksekutif MyHSR Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal kepada Channel News Asia di Putrajaya.
Terdahulu di Putrajaya, Malaysia dan Singapura menandatangani Perjanjian Bilateral untuk menangguhkan pembinaan rel sepanjang 350 kilometer yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura ke 31 Mei, 2020.
Perjanjian itu yang ditandatangani oleh Menteri Ha Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan, turut menyaksikan Malaysia bersetuju untuk membayar pampasan kepada negara republik itu sebanyak S$15 juta (RM45 juta) sebagai kos abortif.
Kos abortif adalah untuk kerja-kerja yang sudah dijalankan atau dalam keadaan sudah terbina untuk kontraktor Singapura.
Pada April, MyHSR mengumumkan empat syarikat tempatan berjaya dilantik sebagai PDP projek berkenaan.

Projek berkenaan dijalankan dengan kerjasama antara Malaysian Resources Corporation Bhd dan Gamuda Bhd (MRCB-Gamuda) dan YTL Corporation Bhd dan Tabung Haji (YTL-TH).
Nilai JV antara MRCB-Gamuda dilaporkan antara RM20-RM23 bilion manakala YTL-TH dilaporkan sebanyak RM10-RM12 bilion untuk tujuh buah stesen.
Sementara itu, Nur Ismal berkata MyHSR turut menggalakkan perjanjian itu kerana projek berkenaan hanya ditangguhkan dan tidak dibatalkan.
“Kami amat menggalakkan pengumuman ini memandangkan situasi kewangan Malaysia. Penangguhan yang kurang dari dua tahun adalah berita baik yang bertentangan dengan pembatalan walaupun permulaan perkhidmatan akan sedikit tertangguh.
“Tetapi pada pembidaan antarabangsa yang sedang berlaku sekarang, kami juga akan membuat pengumuman bahawa proses akan dibatalkan. Kami akan memulakan semula proses itu selepas projek disambung semula pada Mei 2020, “kata Nor Ismal.
Malaysia di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan, sebelum ini mahu membatalkan projek berkenaan kerana “negara tidak mampu berikutan hutang seanyak RM1 trilion.” – 5 September, 2018
Komen