BEKAS ketua menteri Sabah Musa Aman akhirnya mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sibuga hari ini pada jam 3.33 petang, iaitu enam hari sebelum tarikhnya tamat pada 11 September.
Ia termaktub di bawah Perkara Perlembagaan Negeri Perkara 22 (2), yang membenarkan seorang wakil rakyat dipilih untuk mengangkat sumpah dalam tempoh
90 hari dari persidangan pertama.
Persidangan pertama selepas pilihan raya 9 Mei lalu adalah pada 11 Jun.
Namun berikutan Isnin dan Selasa minggu hadapan jatuh kepada hari cuti umum, Musa perlu mengangkat sumpah dalam tempoh tiga hari.
Musa dibawa menaiki sebuah kenderaan ke Dewan Undangan Negeri sebaik sahaja tiba di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Tanjung Aru.
Musa tiba di Kuala Lumpur dari Singapura dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan penyakitnya selepas hampir lima bulan mendapatkan rawatan di United Kingdom.
Musa tiba di bangunan DUN pada jam 1.25 petang dan menunggu kira-kira dua jam untuk mengangkat sumpah di hadapan Speaker Syed Abbas Syed Ali.
Ketika ditemui selepas mengangkat sumpah, Musa menafikan menjadi “pelarian” dan berkata beliau tidak melarikan diri.
“Alhamdulillah, saya telah kemmbali ke Sabah untuk memenuhi kewajipan saya, walaupun keadaan kesihatan dan nasihat daripada pasukan perubatan saya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada speaker kerana memahami keadaan saya dan memberi saya peluang untuk membolehkan saya menjalankan tugas sebagai Adun,” katanya.
Katanya, beliau juga akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur dan akan terus berbuat demikian.
“Saya juga ingin menjelaskan saya tidak prnah melarikan diri dan tidak pernah menjadi pelarian.
“Saya pergi kerana keadaan kesihatan yang serius, seperti yang disahkan oleh laporan perubatan dari pasukan doktor saya.
“Saya adalah anak jati Sabah dan telah berkhidmat di kawasan saya dan negeri, dan akan terus menjalankan tugas sedaya upaya,” katanya.
Menurut sumber, Musa dijangka akan dipanggil oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Pada Isnin, Pesuruhjaya Polis Sabah Ramli Din berkata kes ugutan Musa masih berjalan dan polis merancang untuk mengamil kenyataan daripada beberapa individu lagi sebelum melengkapkan siasatan.
Katanya, kertas siasatan awal yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara ditolak, dan polis diminta untuk melengkapkan lebih banyak perkara berkaitan siasatan itu.
Polis berkata polis telah merakam kenyataan beberapa saksi setakat ini.
“Musa, yang kini dalam jaminan polis kini dipantau dan pergerakannya diperhatikan. Kami tidak tahu bila beliau merancang untuk kembali ke Sabah,” katanya sebelum ini.
Musa sebelum ini diminta kembali ke Sabah untuk membantu siasatan polis.
Berhubung siasatan ke atas dakwaan amalan rasuah melibatkan Jabatan Perhutanan Sabah dan beberapa syarikat pembalakan, sumber itu berkata, kerjasama Musa diperlukan kerana beliau mempunyai kunci kepada beberapa perkara yang luar biasa.
“SPRM perlu bercakap dengan Musa kerana tuduhan beliau cuba ‘membeli’ wakil rakyat yang dipilih ketika keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 nampaknya tidak memihak kepada beliau.” – 5 September, 2018
Komen