TATIUC mempunyai tunggakan yuran pelajar berjumlah RM6.99 juta


Looi Sue-Chern

KOLEJ Universiti TATI (TATIUC) di Terengganu gagal mengutip hampir RM7 juta yuran pelajar dan menanggung kerugian sejak dua tahun berturut-turut.

Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 mendapati TATIUC mencatatkan kerugian mencecah RM1.55 juta pada 2014 dan RM5.5 juta pada tahun berikutnya.

“Prestasi dan kedudukan kewangan TATIUC kurang memuaskan berikutan kerugian dalam dua tahun berturut-turut,” menurut laporan itu.

“Keuntungan terkumpul juga mencatatkan penurunan daripada RM54.83 juta pada 2013 kepada RM47.81 juta pada 2015.”

Institusi terbabit mula ditubuhkan sebagai Terengganu Advance Technical Institute Sdn Bhd pada November 1993 sebelum dijenamakan semula sebagai TATIUC pada Mei 2007.

Ia milik sepenuhnya Lembaga Tabung Amanah Warian Negeri Terengganu (LTAWNT).

TATIUC, yang pendapatan utamanya adalah daripada geran kerajaan dan yuran pelajar berdepan dengan kemerosotan pendapatan sejak beberapa tahun lalu.

Antara 2013 dan 2015, geran kerajaan menyumbang 42.9% kepada 51.7% pendapatan institusi itu.

Ia menerima RM20 juta setahun pada 2013 dan 2014 daripada kerajaan, namun jumlah itu dikurangkan kepada RM17.32 juta pada 2015.

Hasil daripada yuran pelajar, yang menyumbang 38.9% kepada 45.5%, mencatatkan penurunan sejak 2013 daripada RM18.2 juta kepada RM17.6 juta pada 2014 dan RM15.84 juta pada 2015.

TATIUC turut menjana pendapatan daripada sumber lain seperti penyewaan bangunan, yuran pengurusan dan royalti kursus, yang menyumbang 2.8% kepada 18.2% jumlah pendapatan.

Perbelanjaan institusi itu – kebanyakannya untuk gaji dan operasi – meningkat daripada RM38.69 juta pada 2013 kepada RM40.32 juta pada 2015.

Perbelanjaannya melebihi pendapatan dengan 104% dan 115.8% pada 2014 dan 2015.

Setakat 31 Disember tahun lalu, TATIUC mempunyai tunggakan yuran pelajar berjumlah RM6.99 juta di mana lebih separuh graduannya adalah terdiri daripada peminjam.

Laporan itu mengatakan institusi itu tidak mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Malah, TATIUC juga didapati gagal mencapai sasaran pengambilan pelajar antara 37.2% dan 65.7% bermula 2014 hingga tahun lalu.

“Terdapat trend menurun dalam pengambilan pelajar, daripada 488 pelajar pada 2014 kepada 206 tahun lalu, di mana sasarannya adalah antara 595 dan 650 pelajar,” menurut laporan itu.

“TATIUC dikatakan gagal mencapai sasaran berikutan Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional mengehadkan pembiayaan mereka, dan juga saingan daripada isntitusi latihan kerajaan lain.”  - 1 Ogos 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen