MALAYSIA akan membayar S$15 juta (RM45 juta) sebagai kos abortif kepada Singapura kerana penangguhan projek rek berkelajuan tinggi (HSR) sehingga Mei 2020 kata Mohamed Azmin Ali.
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, jumlah berkenaan perlu dibayar pada Januari 2019.
Malaysia dan Singapura menandatangani Perjanjian Bilateral HSR untuk menangguhkan projek sepanjang 350km yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura di Putrajaya hari ini.
Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata jumlah itu adalah untuk kontraktor yang mempunyai klausa dalam kontrak mereka sekiranya berlaku penangguhan.
“Keputusan menggantung projek itu akan memberi kesan kepada beberapa pihak yang berkepentingan seperti kontraktor dan pembina yang berpotensi,” kata Khaw.
Beliau menambah jumlah itu diperolehi selepas kakitangan teknikal dari kedua-dua negara bertemu minggu lepas.
Bahagian kedua pembayaran itu hanya berkuatkuasa jika projek itu tidak diteruskan pada Mei 2020, kata Khaw.
Azmin menyifatkan rundingan berjalan lancar dan dipersetujui kedua-dua negara.

“Kami pada asalnya ingin menunda selama tiga hingga empat tahun tetapi Singapura hanya mahu setahun. Tetapi selepas perbincangan, kami bersetuju tempoh tiga hingga empat tahun mungkin terlalu lama,” kata Azmin selepas menandatangani Perjanjian Bilateral HSR di Putrajaya hari ini.
“Jika penangguhan itu melebihi dua tahun, kos akan meningkat dan selepas beberapa rundingan, kami bersetuju menangguhkannya sehingga 2020,” kata Azmin.
Beliau berkata kedua-dua negara bertemu pada 27 dan 28 Ogos untuk membincangkan kos abortif bagi penangguhan projek itu.
“Dan kami bersetuju Malaysia akan membayar Singapura S$15 juta menjelang Januari 2019,” katanya.
Di samping menangguhkan pembinaan HSR sehingga 31 Mei 2020, perjanjian baru ini juga melanjutkan permulaan HSR Express Service antara Singapura dan Kuala Lumpur bermula pada 1 Januari 2031 dan bukannya tarikh asal 31 Disember 2026.
Disebabkan tempoh penggantungan yang lama, syarikat infrastruktur Singapura dan Malaysia, SG HSR Ptd Ltd dan MyHSR Cooperation Sdn Bhd akan membatalkan tender bersama antarabangsa bagi projek itu. – 5 September, 2018.
Komen