Musa Aman tiba di Sabah, akan angkat sumpah Adun


Jason Santos

BEKAS ketua menteri Sabah Musa Aman tibia di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sekitar jam 1 petang tadi disambut hampir 2,000 penyokong.

Beberapa orang pemimpin dari Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang baharu dibentuk juga menunggu ketibaan Musa yang meninggalkan negeri itu hampir lima bulan lepas.

Antara yang hadir ialah pemimpin Umno Sabah, Hajiji Noor, Masidi Manjun, Ariffin Arif, Rosnah Abdul Shirlin, Jainab Ahmad Ayid, dan pemimpin Parti Bersatu Sabah – Johnny Mositun dan Joniston Bangkuai.

Musa tiba dari Lapangan Terbang Subang menggunakan pesawat peribadi ke Kota Kinabalu.

Khalayak bersorak menyambut ketibaan Musa yang diiring keluar dari terminal oleh anggota polis dan pasukan pencegah rusuhan.

Musa bergerak menuju ke Dewan Undangan Negeri untuk mengangkat sumpah sebagai Adun Sibuga di hadapan Speaker Syed Abbas Syed Ali.

Penyokong Musa berkumpul di dewan ketibaan seawal jam 9.30 pagi tadi. Berita kepulangannya tular malam tadi.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang Musa bertolak dari Lapangan Terbang Subang pada jam 10 pagi.

Ketua Wanita Umno Sabah Jainab Ahmad berkata sokongan ditunjukkan juga adalah tanda protes selepas Barisan Nasional dinafikan mandat pentadbiran selepas pilihan raya 9 Mei lalu.

“Kami mahu Tan Sri (Musa) tahu yang masih ada rakyat sayangkan beliau dan mahu beliau terus berjuang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Musa perlu mengangkat sumpah paling lewat pada 11 September atau berdepan risiko kerusi DUN Sibuga dikosongkan dan pilihan raya kecil diadakan untuk memilih wakil baharu. – 5 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen