Ratusan berkumpul di lapangan terbang tunggu ketibaan Musa Aman


Jason Santos

Kira-kira 1,000 penyokong Umno menanti ketibaan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman sejak awal pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 5 September, 2018.

TAHAP keselamatan di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu diperketatkan apabila ratusan penyokong Umno berkumpul menunggu kepulangan bekas menteri Sabah Musa Aman.

Penyokong Musa mula berkumpul di lapangan terbang, yang digunakan oleh pengendali syarikat penerbangan swasta di Tanjung Aru dan terletak kira-kira lima minit dari Kota Kinabalu, seawal jam 9.30 pagi.

Beliau dijangka tiba sekitar jam 12.30 tengah hari.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang Musa meninggalkan Lapangan Terbang Subang di Selangor pada pukul 10 pagi.

Musa tiba di Kuala Lumpur minggu lepas dan segera dimasukkan ke hospital swasta kerana masalah kesihatan.

Ketua menteri yang digulingkan itu perlu bersumpah di depan speaker Dewan Undangan Negeri paling lewat pada 11 September, atau tempatnya terpaksa dikosongkan bagi pemilihan baru.

Keputusan itu terletak di bawah Perlembagaan Negeri Perkara Perkara 22 (2) yang membenarkan seorang wakil rakyat mengangkat sumpah dalam tempoh 90 hari daripada sidang pertama.

Sidang pertama selepas pemilihan 9 Mei diadakan pada 11 Jun.

Pihak keselamatan turut memperketalkan kawalan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. – Gambar The Malaysian Insight, 5 September, 2018.

Memandangkan Isnin dan Selasa minggu depan cuti umum, Musa perlu mengangkat sumpah dalam tempoh tiga hari akan datang.

Sumber memberitahu media tempatan Musa mungkin akan mengangkat sumpah esok dan para pembantunya sedang mengatur upacara itu.

Speaker Syed Abas Syed Ali juga terpaksa memendekkan percutiannya di Mesir untuk pulang bagi majlis tersebut.

Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin memanggil Musa untuk disoal siasat.

Isnin lalu, Ketua Polis Sabah Ramli Din mendedahkan kes ugutan jenayah melibatkan Musa sedang disiasat dengan lebih teliti dan merancang mengambil kenyataan daripada beberapa individu lagi sebelum memuktamadkan siasatan mereka.

Fasa pertama kertas siasatan yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara ditolak dan mereka diminta menyempurnakan lebih banyak tugasan.

Polis mencatatkan lebih 10 kenyataan saksi setakat ini, kata Ramli.

“Musa, yang berada dalam jaminan polis, sedang dipantau dan pergerakannya diperhati. Kami tidak tahu bila beliau merancang untuk kembali ke Sabah,” katanya.

Mengenai siasatan SPRM terhadap dakwaan rasuah Jabatan Perhutanan Sabah dan beberapa syarikat berkaitan balak, sumber itu berkata kerjasama Musa diperlukan kerana beliau mungkin menjadi kunci utama kepada beberapa perkara yang belum dijelaskan.

“SPRM perlu mengadakan perbincangan dengan Musa kerana tuduhan bahawa beliau cuba untuk ‘membeli’ wakil-wakilnya semasa keputusan PRU14 nampaknya tidak berjaya.” – 5 September, 2018.

Kenderaan khas yang disediakan untuk membawa bekas ketua menteri Sabah Musa Aman. – Gambar The Malaysian Insight, 5 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen