PUTRAJAYA tidak pernah menghalang mana-mana organisasi atau individu memberikan bantuan makanan kepada gelandangan di Kuala Lumpur, dengan syarat ia dibuat dengan saluran yang betul.
Menteri Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim berkata semua organisasi perlu menghubungi kementerian bagi memastikan pengagihan makanan secara teratur dan sistematik.
“Ini bagi mengelakkan berlaku pengagihan secara berlebihan katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Rohani ditanya Ahli Parlimen Setiawangsa Ahmad Fauzi Zahari mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan koordinasi antara kumpulan terlibat untuk mengelakkan pembaziran.
Rohani berkata, aktiviti pengagihan makanan dihadkan kepada tiga lokasi di Kuala Lumpur iaitu di Anjung Singgah, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan Pusat Khidmat Gelandangan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menubuhkan pusat transit di Jalan Pahang, Medan Tuanku dan Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu bagi menempatkan gelandangan.
Rohani berkata kementerian turut mengalu-alukan usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya untuk mendirikan papan tanda lokasi di mana agihan makanan dibenarkan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Loga Balamohan sebelum ini berkata, bilangan gelandangan dalam tempoh tiga tahun ini meningkat, sambil menambah kawasan golongan ini berkumpul adalah di Masjid Negara, Bangkok Bank, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Hang Lekiu.
Beliau menyalahkan soup kitchen atas peningkatan itu dan berkata “simpati” menggalakkan lagi penambahan golongan ini kerana senang mendapat makanan secara percuma. – 1 Ogos, 2017.
Komen