PROGRAM pengambilan semula pekerja warga asing haram gagal kerana kurang 50% daripada permohonan diluluskan, kata satu kumpulan majikan, dan jumlah kecil itu mencetuskan kebimbangan susulan pihak berkuasa dikatakan akan mengambil tindakan terhadap pekerja tanpa dokumen sah.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsudin Bardan berkata 828,861 permohonan dihantar tetapi hanya 450,000 permit dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.
“Ia tidak mencapai sasaran yang kami harapkan.
“Daripada permohonan itu, 100,000 ditolak dan 450,000 diluluskan. Sementara yang lain, mereka (pekerja dan majikan) tidak mahu meneruskan proses itu kerana pekerja tidak melengkapkan pemeriksaan kesihatan atau permohonan biometrik, atau mereka tidak ada pasport.
“Mereka yang tidak berjaya tidak boleh lagi memohon kerana program pengambilan semula sudah berakhir, begitu juga dengan program pengampunan 3+1,” katanya kepada The Malaysian Insight, memetik angka daripada Jabatan Imigresen.
Program pengambilan semula itu bermula pada Februari 2016 dan berakhir Jun tahun ini. Ia pada mulanya dibuat bagi membantu majikan mengesahkan pekerja asing mereka.
Ia bertindih dengan program pengampunan yang berakhir pada 30 Ogos, yang memerlukan pekerja warga asing membayar denda RM300 dan RM100 untuk pas khas bagi laluan pulang ke negara masing-masing.
Di bawah program pengampunan yang bermula pada 2014, lebih 840,000 pendatang haram dihantar pulang sementara RM400 juta kompaun dikutip.
Sejak 31 Ogos, Jabatan Imigresen melancarkan operasi membanteras pekerja asing tanpa dokumen kerja yang sah, di mana tindakan itu membimbangkan majikan, kata Shamsudin.

Beliau berkata walaupun berada di sini secara sah, ada saja sebab yang memungkinkan pekerja ditahan kerana biasanya mereka tidak membawa permit kerja bersama.
“Ramai yang bekerja secara sah tidak membawa permit ke tempat kerja kerana ia tidak perlu.
“Tetapi bila tertangkap, mereka masih akan dianggap haram kerana tidak dapat memberikan pas kerja sah. Bagaimana mereka hendak buktikan yang mereka ada dokumen sah?”
Pekerja asing biasanya dapat membuktikan status sah mereka dengan kad khas tetapi lambakan kad palsu menyebabkan Jabatan Imigresen berhenti mengiktiraf kad berkenaan, katanya.
“Pekerja asing sebelum ini membawa i-Kad. Mereka perlu bawa ke mana saja kerana bimbang ditahan. Tetapi kini banyak kad palsu, kementerian sedang cuba memperkenalkan dasar baharu. Kami terpaksa tunggu pengumuman itu.”
Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali setakat ini belum memberi respons kepada permintaan The Malaysian Insight untuk mengulas tentang dakwaan kegagalan program pengambilan semula warga asing menerima semua permohonan.
Setakat ini, operasi menahan pekerja warga asing haram, atau Op Mega 3.0, menahan 5,444 orang, dengan 135 majikan turut ditahan, kata Mustafar dipetik daripada The Star baru-baru ini. – 5 September, 2018
Komen