SENI mencerminkan ketamadunan sesebuah negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dan tiada negara boleh mengaku ia bertamadun kalau negara itu tidak mengangkat kesenian bangsanya dan menghargai senimannya.
“Walaupun kita berhasrat untuk mencapai Wawasan 2020, berpendapatan sehingga beribu-ribu dolar tetapi tanpa seni tersendiri kita tidak boleh mendakwa kita sudah bertamadun,” katanya dalam ucapan sambutan ulang tahun ke-60 Balai Seni Negara di Kuala Lumpur, malam ini.
Balai Seni Negara yang dibuka pada 28 Ogos 1958 adalah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, terletak di Jalan Tun Razak sebaris dengan Istana Budaya dan Perpustakaan Negara.
Menurut Perdana Menteri, Balai Seni Negara yang ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman pada awal kemerdekaan adalah simbol Malaysia mengiktiraf kesenian dan senimannya.

“Balai seni penting di mana-mana negara. Tiada mana-mana negara boleh kata mereka bertamadun tanpa ada seni,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir merakamkan terima kasih pada kelompok artis dan seniman yang berjaya merakamkan keindahan Malaysia melalui hasil seni mereka.
Katanya, melalui hasil seni lukisan atau ukiran itu masyarakat juga dapat melihat keindahan yang tersembunyi yang ditunjukkan dari mata hati seniman.
“Kita dapat lihat kecantikan ini bukan dengan mata kepala sendiri tapi melalui pelukis kita dapat lihat betapa cantiknya sebab mereka nampak yang cantik yang mereka boleh nampak,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menyeru rakyat supaya membeli lukisan tempatan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada pelukis Malaysia.
Katanya, pelaburan membeli lukisan tidak pernah merugikan kerana lukisan akan jadi semakin bernilai sepanjang zaman.
“Pembelian lukisan tak pernah merugikan kerana semakin lama semakin tinggi nilainya,” katanya sambil membuat perbandingan dengan nilai kenderaan yang menghadapi susut nilai. – 4 September, 2018
Komen