Rahmatan Lil Alamin dan Radikalisme antara segelas teh


Zainal Rashid Ahmad

SEORANG bekas ketua bahagian parti sahsiah berteraskan nasionalisme, mengajak saya minum teh pada malam ambang merdeka. Beliau menelefon saya dengan pelawaan yang penuh semangat ukhwah.

“Mari kita berbincang mengenai Rahmatan Lil Alamin,” katanya yang melepaskan semua jawatan politik sebaik berakhir pilihan raya umum ke-14 lalu.

Kami bertemu di warung teh di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan kenalan yang lebih veteran ini membuka hujahnya: “Saya menyokong Rahmatan Lil Alamin. Ini jalan terbaik menyatukan umat Islam dan menjadikan Islam sebagai teras persefahaman bagi negara bangsa kita yang berbilang agama.”

Saya mendengar dan memberi laluan kerana dia nampak sangat bersemangat memulakan sesi perbualan.

“Cuma saya bimbang,” katanya: “Semakin kukuh usaha menerapkan Rahmatan Lil Alamin dilakukan Dr Mujahid (Menteri Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa), musuh-musuh politik menyerangnya dengan menanam perasaan radikalisme di kalangan orang awam Islam.”

“Wah,” kata saya: “Tuan membawa perspektif baharu yang belum pernah saya fikir.”

Musuh politik Menteri Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa menyerangnya dengan menanam perasaan radikalisme di kalangan orang awam Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2018

Dilabel liberalisme

Rahmatan Lil Alamin, katanya, secara terancang dan agresif dilabelkan liberalisme. Label ini dihujahkan musuh politik dengan sentimen untuk menakut-nakutkan umat Islam. Liberalisme ini secara halus pula dituduh: Proses menghakis Islam daripada Perlembagaan.

“Nampaknya musuh politik Dr Mujahid”, katanya, “menanamkan rasa takut kepada umat Islam supaya dasar-dasar Rahmatan Lil Alamin dilihat sebagai melemahkan Islam dan berkompromi dengan pelbagai pihak minoriti demi membayar undi!”

Saya kurang memberikan tumpuan pada aspek undi. PRU15 masih jauh. Saya mahu mendengar hujah-hujah politik yang mengaitkan kempen menentang Rahmatan Lil Alamin yang kini membenihkan radikalisme.

Apabila label liberal diulang-ulang terhadap semua dasar-dasar kesederhanaan yang dilakukan Dr Mujahid, pandangan-pandangan ekstrim yang dikemukakan dalam hujah politik musuh Pakatan Harapan (PH) menyemai bibit-bibit ketakutan yang akhirnya melahirkan ekstremis agama anti pembaharuan.

Saya bimbang, jelasnya: “Percayalah… sikap kebencian terhadap kesederhanaan ini, lama kelamaan akan membiakkan kebencian yang mencetuskan pemikiran radikal terutama di kalangan anak muda Islam yang cetek pertimbangan.”

Kami bercakap dalam bahasa mudah. Tidak mahu mengheret perbualan menjadi rumit.

Tapi saya segera teringat kata-kata yang mencela Dr Mujahid dalam media sosial dan kolum akhbar serta portal. Siri serangan yang nampaknya diatur dengan strategik.

Siri-siri dialog dan ceramah bermotif politik dengan tajuk melabel Malaysia kini sebagai negara liberal disusun dari Perlis ke Kota Bharu. Dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Sentimen Malaysia menuju ke arah negara LGBT sengaja disemai musuh politik Dr Mujahid. – Gambar EPA, 5 September, 2018

Tuduhan pro LGBT 

Secara sengaja, ketakutan dan kemarahan disemai dengan menyebut: Malaysia menuju negara LGBT. Ada yang menyebut Islam sedang dijual. Malah, secara lateral, semua serangan terhadap Rahmatan Lil Alamin cenderung dilabel sebagai doktrin liberalisme.

Melalui manipulasi persepsi, memang Dr Mujahid secara konsisten sejak 100 hari lalu, diserang dengan tuduhan pro LGBT. Itu serangan sensasi yang sengaja digunakan kerana LGBT adalah senjata mudah dan populis.

Sentimen ini dengan mudah mampu merosakkan imej Dr Mujahid dan proses pembaharuan. Malah, dengan mudah juga menyemai ketakutan dan meniupkan api kemarahan di kalangan umat Islam.

Caturan politik musuh Dr Mujahid mudah: Gunakan sentimen LGBT dan dimanipulasikan sebagai kayu pengukur: Kalau LGBT pun diiktiraf, bayangkan apa lagi akan dilakukan seterusnya.

Ini serangan disengajakan. Secara populis, sentimen ini tidak memerlukan hujah ilmiah. Musuh politik hanya perlu kekal menghasut dan menghasut dengan menggunakan sentimen yang paling mudah membakar kemarahan umat Islam.

Tuduhan liberal telah dilabel terhadap Dr Mujahid dan rakan-rakannya sejak 2015. Bukan rahsia pun, ketika kumpulan profesional dalam PAS bangkit dan bertanding mencabar kepimpinan ulama - mereka sudah dicop sebagai puak liberal!

Apabila kumpulan ini kemudian membentuk parti Amanah, bertubi-tubi serangan dengan label Islam liberal dilakukan PAS dengan niat memusnahkan pengaruh parti baharu itu.

Selama tiga tahun sehingga menjelang PRU14 lalu, PAS dan UMNO mengunakan istilah liberal terhadap Amanah sebagai senjata. Pertama, supaya umat Islam menjauhkan diri dari Amanah. Kedua, menambah beban dengan mengatakan Amanah adalah alat DAP yang pro Kristian.

Pada kempen PRU14 lalu, sentimen liberalisme dan Kristianisasi adalah senjata utama mengawal undi orang Islam. Amanah dan DAP dijadikan liabiliti kepada PH melalui dua sentimen yang sensitif itu.

Saya melihat isu label liberalisme sebagai perang kesinambungan yang diteruskan musuh politik apabila PH membentuk kerajaan pada 10 Mei lalu. Apabila Dr Mujahid dilantik sebagai Menteri Agama, peluru dan meriam kini ditala kepada beliau secara peribadi.

Dalam bukunya Islam & Kepelbagaian Rahmat Untuk Semua (terbitan ilhambooks 2015), pandangan ilmiah Dr Mujahid sebenarnya sudah sangat jelas mengenai Rahmatan Lil Alamin.

Pengantar buku ini pun awal-awal menyebut: Dasar Rahmah ini memandu kepelbagaian (agama dan kaum) yang wujud di Malaysia bagi mencapai maksud Rahmah yang lebih besar pengertian Islamnya daripada benci membenci antara satu sama lain.

Musuh politik Dr Mujahid sedar –  perang label liberalisme ini mesti diteruskan secara agresif. Dr Mujahid mesti diserang sebagai watak dalam kerajaan yang tindak-tanduknya telah melemahkan Islam.

Label liberalisme perlu dipaksakan secara konsisten dan agresif supaya umat Islam kekal berada dalam ketakutan dan kemarahan.

Musuh politik Dr Mujahid sedar, serangan berterusan perlu dilakukan setiap hari dan minggu. Serangan ini penting bagi menghalang idea-idea murni Rahmatan Lil Alamin dipromosi dan difahami masyarakat.

Musuh politik Dr Mujahid bimbang, apabila rakyat faham konsep sebenar Rahmatan Lil Alamin, ia pasti diterima. Model kesederhanaan dan teras keharmonian yang dianjurkan Rahmatan Lil Alamin adalah model terbaik demi kesejahteraan negara ini.

“Saya bimbang,” kata kenalan saya sambil menghirup teh halia: “Cara kebencian yang ditanam bukan setakat merosakkan Rahmatan Lil Alamin. Mereka menanam benih radikalisme secara tidak sedar. Kebencian dengan muslihat meliberalkan hal-hal agama banyak bahayanya.”

Apalagi persepsi bahawa kerajaan PH kini secara liberal sedang menjadikan Islam agama yang perlu akur pada hak asasi golongan minoriti.

Belum habis segelas teh, sudah nampak dengan jelas sekarang. Natijah kenalan saya ini ialah: Dia bimbang lahirnya generasi radikal dan ekstrim yang dibentuk oleh pandangan-pandangan anti kesederhanaan dalam Islam.

Sentimen kebencian 

Saya juga yakin begitu. Ketika musuh Dr Mujahid melabel negara ini kini menuju liberalisme, benih-benih radikal juga sedang disemai.

Label seperti Negara LGBT, mesra gay, Islam diperguna sebagai kompromi politik, nampaknya bukan sekadar modal politik. Dalam sekelip mata, ia menanam sentimen kebencian.

Apa lagi, tuduhan Rahmatan Lil Alamin diperalat untuk melemahkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Saya faham, amaran kenalan saya ini ialah: Tuduhan liberalisme bukan sekadar untuk meraih undi. Ia kini label yang menanam ketakutan pada umat Islam. Ketakutan ini akan membiakkan keganasan sekiranya berterusan.

Dalam bukunya Islam & Kepelbagaian, Dr Mujahid lebih awal menyedari ancaman ini. Justeru, beliau melahirkan juga kebimbangannya: “Lebih buruk lagi, isu kaum kerap kali bercampur baur dengan isu agama dan dalam situasi ini ia boleh mencetuskan kebencian antara agama.”

Justeru, tugas utama sekarang, ialah membendung kempen bermotif politik yang sengaja mencetuskan sentimen radikalisme.

Ahli politik selalunya tidak sedar, bahawa perkataan politik mereka boleh menjadi racun. Bahayanya, racun ini tidak membunuh. Sebaliknya, racun radikalisme melahirkan pembunuh.

Rahmatan Lil Alamin tidak harus diseleweng dengan persepsi liberalisme. Tidak harus dijadikan momokan dengan menuduh negara ini sedang menuju negara LGBT. Atau menuju negara sekular.

Adalah berbahaya Rahmatan Lil Alamin sengaja dilabel sebagai proses menjual kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Artikel ini tidak berniat menceramahkan secara akademik mengenai Rahmatan Lil Alamin. Buku Dr Mujahid menjelaskan secara meluas dan terperinci. Baca dan sebarkan niat sebenar dengan berpegang pada asas: “Dan tiada Kami turunkan Engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk Rahmat bagi sekalian alam.”

Kini, saya menumpang kebimbangan rakan saya. Seorang veteran yang dengan kesedaran ukhwah telah menelefon saya untuk minum teh. Dia datang dengan kebimbangan yang besar.

Dia bersuara kepada saya: “Sangat bahaya apabila politik kebencian ditanam atas nama agama. Kesannya, ia menyemai benih radikalisme.”

Kalau kita menanam kebencian, ingatlah… satu hari, kita akan menuai keganasan. Pastinya orang yang bijak, tidak mahu Islam di negara ini dijadikan sumber ekstremisme.

Saya fikir sudah sampai masanya kita melihat Rahmatan Lil Alamin secara adil. Lupakan label liberalisme yang sengaja dimomokkan.

Orang politik selalunya secara sengaja, pura-pura tidak pandai menjaga lidahnya. Orang politik akan sengaja menanam benih apa pun demi menuai undi.

Selalunya, orang politiklah yang menjadi punca lahirnya pemikiran radikal yang gila! – 5 September, 2018

 

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen