Kuantan, Rompin rekod RM45.7 juta tunggakan cukai tanah


Looi Sue-Chern

PEJABAT Daerah dan Tanah (PDT) di Rompin dan Kuantan masing-masing merekodkan tunggakan cukai tanah berjumlah RM34.3 juta dan RM 11.4 juta, dengan satu kes bertarikh sebelum merdeka iaitu sekitar 1950-an.

Siri pertama Laporan Ketua Audit Negara 2016 mendedahkan tunggakan PDT Kuantan terdiri daripada RM29.15 juta cukai tanah yang tidak berbayar dan RM5.15 juta denda tidak berbayar, melibatkan 56,442 hartanah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5,296 tunggakan berjumlah RM15.8 juta melebihi 11 tahun.

Bagi PDT Rompin pula, cukai tanah tertunggak melibatkan RM10.97 juta cukai tidak berbayar dan RM510,000 denda, melibatkan 7,662 hartanah.

Daripada jumlah tersebut, 645 tunggakan berjumlah RM621,635 melebihi 11 tahun.

Laporan itu juga menyatakan juruaudit mengambil sampel 218 hartanah di bawah PDT Kuantan yang mempunyai tunggakan cukai tanah berjumlah lebih RM10,000.

Juruaudit juga menemui sejumlah tunggakan melibatkan hartanah dimiliki syarikat-syarikat persendirian (41.8%), diikuti pemilik individu (34.8%) dan agensi kerajaan (17.9%).

Satu sampel terdiri daripada tujuh hartanah diambil di Rompin dengan tiga dimiliki individu sementara dua lagi dimiliki aganesi kerajaan.

“Mengikut pandangan juruaudit, tunggakan tidak berbayar dan denda bagi jangka masa yang lama ini adalah kerana kedua-dua PDT tidak efisien dalam usaha untuk mengurangkan jumlah tunggakan,” laporan itu menyebut.

Menurut laporan itu, sebanyak 32 hartanah milik kerajaan dengan tunggakan di Kuantan, satu dengan hutang cukai sejak 1973 termasuk tunggakan dan denda berjumlah RM302,993.

Bagi hartanah dimiliki syarikat persendirian, terdapat 59 kes di Kuantan dan Rompin dengan tunggakan berjumlah RM5.16 juta, termasuk sebuah syarikat yang tidak pernah membayar sejak 1971, dengan jumlah sebanyak RM142,033.

Sampel melibatkan hartanah milikan individu di Kuantan dan Rompin pula, 125 berhutang sebanyak RM972,887, termasuk seorang pemilik di Endau yang berhutang sebanyak RM16,997 selepas berhenti membayar cukai tanah sejak 1953.

“Usaha untuk mengutip tunggakan hutang individu juga tidak memuaskan kerana pemberian surat peringatan dan Notis 6A tidak dikuatkuasakan,” laporan menyebut.

Ia juga menemukan tunggakan dan denda terkumpul bagi pegangan pajakan di bawah PDT Kuantan dan Rompin berada di bawah par disebabkan penguatkuasaan dan pengawasan yang kurang efektif.

“Pejabat Tanah dan Galian dan PDT negeri perlu mengadakan promosi bersesuaian untuk pembayar cukai yang mempunyai tunggakan dan mengambil tindakan penguatkuasaan dan pengawasan ke atas pemilik tanah yang memiliki tunggakan tinggi.

“Tanah pajakan mesti disahkan segera untuk memastikan cukai tanah dapat dikutip, dan mana-mana kajian semula dan penangguhan cukai tanah harus dibuat mengikut arahan yang diberi,” kata laporan.

Ia juga mengesyorkan PDT Kuantan dan Rompin membuat penambahbaikan dalam pengutipan tunggakan cukai tanah.

Laporan juga menasihatkan kerajaan Pahang untuk mengambil langkah pembetulan dan pencegahan bagi mengatasi kelemahan dalam pengurusan kewangan selepas prestasi negeri itu menunjukkan sedikit kemerosotan pada tahun lepas. – 1 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen