Cukai soda beri kebaikan kepada rakyat Malaysia, kata kumpulan pengguna 


Yasmin Ramlan Zaim Ibrahim

Kumpulan pengguna berkata diabetis yang menjejaskan lebih 2.5 juta orang di Malaysia perlu dikekang dari akar umbi. Gambar fail The Malaysian Insight,– 4 September, 2018

KUMPULAN pengguna dan penyokong dasar kesihatan menggesa Putrajaya melaksanakan cukai ke atas minuman manis, namun menolak langkah mengurangkan harga gula.

Menurut mereka, diabetes yang memberi kesan terhadap 2.5 juta orang dewasa perlu ditangani dari bawah bagi menjimatkan kos perubatan kerajaan yang mencecah jutaan ringgit. 

“Ia tidak masuk akal sebab di satu pihak kita mengadu (peningkatan pesakit) obesit dan masalah kesihatan. Tapi punca penyakit itu kita tak mahu ambil tindakan. Di mana punca utama ialah kita gunakan gula itu” kata Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader.

Beliau berkata, secara tidak langsung, negara juga akan terpaksa menanggung kos lebih banyak dari segi perubatan jika bilangan pesakit tersebut bertambah.

“Kita tak setuju sebab gula adalah punca semua penyakit sekarang dan ada bukti saintifik – mengatakan sakit kanser, sakit jantung, diabetes, semua berpunca daripada berlebihan gula.

Hasil kutipan cukai soda atau cukai minuman manis pula boleh digunakan untuk membiaya aktiviti sukan dan kempen kesihatan, tambah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamad Idris.

“Di United Kingdom, hasil cukai tersebut digunakan untuk membiayai sukan, pendidikan jasmani di sekolah rendah dan menggalakkan aktiviti fizikal. Di Mexico, cukai soda disertakan dengan kempen mendidik orang awam yang efektif,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Institut Diabetes Negara pada Julai, kira-kira 2.5 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes. Malaysia mencatatkan jumlah penghidap diabetes tertinggi di Adia, dan salah satu negara yang tertinggi di dunia, pengerusi eksekutifnya Dr Mustaffa Embong dilaporkan sebagai berkata.  

Tahun lalu kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.6 juta setahun untuk 40,000 orang pesakit buah pinggang tahap 5 yang memerlukan hemodialisis. Angka itu adalah daripada 400,000 orang yang mengalami masalah buah pinggang. 

Pada kadar ini, Malaysia berada di landasan untuk menjadi negara yang mempunyai kadar pesakit buah pinggang tertinggi menjelang 2030, sekiranya ia tidak berkurangan. 

Idea untuk mengenakan cukai soda diutarakan oleh ahli Parlimen DAP, Tony Pua yang menegaskan ia belum disahkan. Namun idea berkenaan diterima baik oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menggalakkan gaya hidup sihat. 

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata, cukai itu perlu digunakan untuk program pendidikan dan kesedaran tentang bahayanya gula kepada kesihatan.

Ketua pegawai eksekutifnya Paul Selvaraj turut mencadangkan penggunaan label berwarna pada bungkusan makanan dan minuman agar pengguna tahu kadar kandungan gulanya. 

“Apabila ada cukai, kerajaan ada pendapatan. Kita harap, kerajaan akan gunakan untuk mendidik pengguna.

“Di beberapa negara lain, cukai digunakan untuk program kesihatan dan obesiti. Pendidikan juga penting supaya rakyat tahu tentang bahan-bahan yang terdapat dalam makanan,” jelas beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Hasil kutipan cukai soda atau cukai minuman manis pula boleh digunakan untuk membiaya aktiviti sukan dan kempen kesihatan, kata Presiden CAP SM Mohamad Idris. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2018

Dalam pada itu menurut Galen Centre, kerajaan perlu mengenakan cukai kepada pihak pengilang, bukannya kepada peruncit serta kurangkan kandungan gula dalam minumannya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre,  Azrul Mohd Khalib berkata, kerajaan perlu mengenakan cukai kepada pihak pengilang, bukannya kepada peruncit.

“Minuman yang mengandungi kadar gula tertentu perlu dikenakan cukai. Hal ini akan menggalakkan pengilang untuk mengurangkan kadar gula dalam produk mereka untuk elak dicukaikan,” jelasnya.

Bagi tahun 2017, kajian amalan pemakanan remaja daripada Institut Kesihatan Umum (IKU) mendedahkan, satu pertiga atau 36% remaja meminum air gas sekurang-kurangnya sekali sehari.

Kadar pengambilan gula juga meningkat daripada 29.5 gram (2012) kepada 40.7g (2017).

Pendekatan holistik 

Dalam menangani isu ini, Malaysia memerlukan pendekatan holistik kerana cukai soda mungkin tidak mempunyai kesan yang diinginkan, kata kumpulan pemikir Institut Pulau Pinang dalam laporan terbaru.

Menurutnya pengguna perlu menukar pilihan mereka kepada makanan dan minuman manis lain untuk mengelakkan daripada membayar cukai soda. 

Cukai soda juga tidak akan memberi kesan kepada premis makanan yang menyediakan minuman secara langsung sebaik dipesan pelanggan, seperti restoran India Muslim dan kedai kopi. 

Naib presiden Fomca, K. Koris Aman berkata, minuman berkarbonat juga perlu diharamkan jualannya di sekolah. 

Secara keseluruhannya oenggubal dasar menyedari hakikat bahawa gula hanya memberi masalah kepada kesihatan bukan sahaja diabetes, kata Mohideen yang tidak bersetuju dengan pengurangan harga gula 10 sen sekilogram.

Berkuatkuasa pada Sabtu, harga gula turun 10 sen kepada RM2.85 sekilogram dan gula halus kepada RM2.95 sekilogram, selaras dengan penurunan harga gula dunia.

“Gula menjadi punca kepada banyak penyakit dan ada bukti saintifik untuk menyokong ini - kanser, masalah jantung, diabetes - pengambilan gula yang berlebihan menyumbang kepada semua ini.

“Ia adalah beban kos kepada negara kerana bilangan pesakit meningkat,” kata Mohideen. – 4 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen