Apa jadi dengan kes perlindungan wang di Melaka, soal Gobind


Melati A. Jalil

Gobind berkata sehingga hari ini tiada sebarang penjelasan ke atas kes perlindungan wang yang melibatkan pegawai polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2017.

PENGERUSI Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi supaya memberi penjelasan dan maklumat terkini berkaitan penyiasatan kes wang perlindungan di Melaka yang menyaksikan beberapa pegawai polis ditahan kerana rasuah.

Gobind berkata, kes itu sudah melebihi dua bulan sejak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 suspek, termasuk ketua polis daerah Melaka Tengah dan Jasin atas dakwaan terlibat dalam sindiket memberi perlindungan kepada rumah urut dan pusat judi.

“Saya mahu menteri dalam negeri menjawab, kenapa sehingga hari ini tiada sebarang penjelasan ke atas kes sebesar ini, yang melibatkan pegawai polis.

“Dia perlu menjawab sama ada siasatan ini masih diteruskan dan kedua, mengapa tiada tindakan atau pun pengumuman dibuat berkaitan kes ini,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

“Kita mahukan jaminan laporan itu akan disiasat. Saya sudah bertanya banyak kali tapi langsung tiada jawapan.”

Gobind berkata masyarakat awam memerlukan jaminan yang setiap laporan polis akan disiasat.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata satu rombakan besar-besaran dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan dibuat susulan penahanan itu.

Khalid berkata kumpulan pertama melibatkan kenaikan pangkat dan rombakan jawatan tertinggi sudah pun bermula dengan 15 pegawai melibatkan pelbagai jawatan dan pangkat dalam kontijen polis Melaka pada Mei lalu. – 1 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen