KEGAGALAN Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memaklumkan dan berunding dengan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum menggugurkan semua pertuduhan terhadap Lim Guan Eng menunjukkan ia kurangnya profesionalisme dan akauntabiliti, kata pakar undang-undang.
Peguam Negara Tommy Thomas juga perlu menjelaskan sebab pendakwaraya menarik diri daripada perbicaraan rasuah Guan Eng, walaupun beliau sendiri menarik diri daripada kes berkenaan.
Sebelum pembebasannya diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Guan Eng sedang dibicarakan kerana membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran daripada pemiliknya Phang Li Khoon pada 2016, ketika memegang jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
“Bagaimana mulia pun niat AGC ini, ia sepatutnya menjaankan tugasnya secara lebih profesional dan mengendalikan imej perhubungan awamnya dengan lebih baik, kata peguam Lim Wei Jiet.
Lim berkata, AGC sepatutnya memberi peluang kepada SPRM untuk memberikan maklum balas terhadap keputusan menggugurkan kes berkenaan.
“Sekiranya AGC tetap memutuskan untuk menggugurkan dakwaan, jadi ia tidak mengapa. Tetapi prosedur ini yang memperkasakan akauntabiliti dan ketelusan perlu dipatuhi,” kata Lim.
“Sekali lagi, amalan baik ini semua disediakan di bawah Panduan Pendakwaan UK. Mungkin, ini tidak dibuat, membawa kepada kenyataan media SPRM yang ‘mengejutkan’.”
SPRM, dan juga Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kedua-duanya semalam menyatakan rasa “terkejut” dengan berita pengguguran kes berkenaan.
Pendakwa telah memohon pelepasan yang tidak membawa kepada pembebasan tetapi hakim Hadhariah Syed Ismail membenarkan pelepasan yang membawa kepada pembebasan sepenuhnya.
Ini bermakna, walaupun dengan pendakwaraya baharu, Guan Eng tidak boleh didakwa atas kesalahan yang sama berikutan perlindungan perlembagaan terhadap bahaya berganda dalam Perkara 7 perlembagaan persekutuan.
Lim mengesyorkan bahawa AGC, terutamanya Peguamcara Negara, kini harus memberikan alasan untuk menghentikan pendakwaan terhadap Lim yang dilantik sebagai menteri kewangan apabila Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
__full.jpg)
“Rakyat berhak untuk tahu mengapa pendakwaan terhadapnya digugurkan memandangkan ini adalah kes berprofil tinggi. Terutamanya kerana bekas Peguam Negara Apandi Ali terlalu berlebihan dalam pendakwaannya terhadap Lim Guan Eng,” katanya.
Lim berkata, melainkan AGC menunjukkan bukti pendakwaan adalah cacat, seluruh episod ini menunjukkan “kekurangan akauntabiliti dan ketelusan yang serius”.
Terdahulu hari ini, timbalan pendakwaraya Mohamad Hanafiah Zakaria menjawab kritikan terhadap pembebasan itu dengan menjelaskan keputusan untuk menggugurkan semua pendakwaan dibuat selepas mempertimbangkan bukti daripada saksi pendakwaan.
Hanafiah berkata, keputusan untuk menggugurkan pendakwaan itu dibuat “tanpa sebarang pengaruh daripada mana-mana pihak”, dan menambah beliau telah merahsiakan keputusan itu daripada kedua-dua Tommy dan SPRM.
Bagaimanapun, kumpulan pro-ketelusan Cenbet terdahulu berkata Thomas perlu menjelaskan keputusan pendakwaan AGC berhubung kes Guan Eng.
“Keperluan untuk jawapan itu lebih menekan memandangkan kes berkenaan sudah dibawa ke mahkamah sejak lebih dua tahun, dan keputusan menarik balik pendakwaan dibuat beberapa bulan selepas kerajaan baharu mengambil alih,” kata naib presidennya Simon Lim Cheng Hai.
“Tommy Thomas perlu menjelaskan kepada umum. Kegagalan AGC memberi penjelasan yang memuaskan hanya akan menimbulkan syak kepada umum dan memberi kepercayaan kepada idea campur tangan politik, yang mana pentadbiran baru dapat lakukan. Peguam Negara harus segera menjelaskan perkara ini.”
Lim turut menyokong cadangan untuk memberikan kuasa pendakwaan kepada SPRM dan mempercepatkan proses menjadikan agensi itu bertanggungjawab kepada Parlimen, untuk menambah ketelusan kepada kerajaan.
Peguam jenayah Rajsurian Pillai berkata, dengan kes Guan Eng, keyakinan awam “mungkin akan terjejas berikutan perkara yang dilihat jelas berpihak” kepada kerajaan memerintah.
“Pendakwa raya harus bebas dan menjalankan kes tanpa takut akan menerima akibat daripada politik pihak atasan.
“Ketika pendakwaan terhadap pihak mesra kerajaan yang kini sedang digugurkan, tuduhan sedang dipasang pada pihak-pihak yang rapat dengan pemerintah yang lalu,” kata Rajsurian. – 4 September, 2018
Komen