Khalid Samad sokong keputusan kes Guan Eng


Noel Achariam

Menteri Wilayah Khalid Samad menyokong keputusan hakim yang melepas dan membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 September, 2018.

KHALID Samad menyokong keputusan hakim yang melepas dan membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuahnya.

Menteri Wilayah itu berkata keputusan tersebut bukanlah dibuat oleh Peguam Negara (Tommy Thomas).

“Hakim yang buat keputusan untuk bebaskan beliau (Lim).

“Pendakwaan dilakukan oleh peguam negara dan hakim yang membuat keputusan. Jadi, saya menyokongnya,” kata Khalid selepas merasmikan program mencantikkan jalan belakang di Bukit Bintang hari ini.

Khalid Samad ketika merasmikan program mencantikkan jalan belakang di Bukit Bintang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 September, 2018.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam melepas dan membebaskan Lim yang juga bekas ketua menteri atas tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn.

Lim didakwa atas tuduhan rasuah pada 2016 kerana membeli banglo tersebut di bawah harga pasaran dari bekas pemiliknya, Phang Li Khoon, ketika jadi ketua menteri Pulau Pinang.

Khalid juga berkata beliau bersetuju SPRM sepatutnya berhak untuk mendakwa sekiranya Peguam Negara memutuskan untuk tidak mendakwa.

“Sistemnya kini adalah SPRM siasat dan kemudian bentangkan kepada Peguam Negara. 

“Jadi sekiranya Peguam Negara merasakan kes tidak kuat tetapi SPRM berpandangan sebaliknya barulah mereka perlu diberi hak untuk mendakwa.”– 4 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen