TIGA nama sudah dihantar kepada Putrajaya untuk jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.
Beliau berkata, nama berkenaan dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri sebaik sahaja menerima surat peletakan jawatan Datuk Bandar Mhd Amin Nordin Abdu Aziz.
“Saya sudah menghantar tiga nama kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Keputusan (untuk nama berkenaan) adalah muktamad.
“Kita akan dapat mengesahkannya pada pertengahan bulan,” katanya selepas merasmikan program mencantikkan jalan belakang di Bukit Bintang hari ini.
Khalid berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan Amin pada Sabtu.
Katanya, surat peletakan jawatan itu dihantar kerana Amin merasakan beliau sudah lama memengang jawatan itu, sejak 40 tahun lalu dan kini beliau mahu meluangkan masa bersama keluarganya.

Khalid juga berkata keputusan bagi jawatan datuk bandar itu masih belum dimuktamadkan.
“Mungkin perdana menteri ada calonnya sendiri tetapi keputusan akhir terletak di tangan beliau.”
Katanya perkara itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet minggu depan.
Tambah Khalid datuk bandar bahari tidak akan dilantik menerusi pilihan raya tempatan.
Mhd Amin Nordin merupakan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke 11, mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam pentadbiran kerajaan tempatan dan pengurusan bandar. Beliau mula bertugas sebagai timbalan pengarah Jabatan Landskap DBKL pada 1978 ketika berusia 22 tahun. – 4 September, 2018
Komen