SEKIRANYA rakyat tidak bersetuju dengan hukuman sebat terhadap dua lesbian, mereka perlu bawa perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri yang boleh meminda undang-undang itu pada sidang DUN, kata Khalid Samad.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, sekiranya mereka mahu mengubah undang-undang, mereka perlu bangkitkan pada sidang DUN.
“Dalam negara kita yang terbentuk daripada banyak negeri dari segi agama dan undang-undang dan terdapat undang-undang yang diluluskan di sidang DUN.
“Jika mereka tidak setuju dengan undang-undang berkenaan, mereka boleh bangkitkan kepada Adun.
“Sekiranya mereka mahu undang-undang diubah, mereka boleh meminta Adun mereka membawa usul untuk dipinda,” katanya selepas merasmikan program mencantikkan jalan belakang di Bukit Bintang.

Dua wanita terbabit disebat enam kali setiap seorang di Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah mengadakan hubungan seks sejenis pada 12 Ogos lalu. Wanita terbabit masing-masing berusia 22 dan 32 tahun turut dikenakan denda sebanyak RM3,300.
Hukuman itu dijalankan oleh pegawai dari Jabatan Penjara Kajang dan dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu di hadapan 150 orang.
Berhubung isu sebat di khalayak itu, Khalid berkata ia dilakukan mengikut undang-undang.
Terdahulu hari ini Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud berkata hukuman sebat itu adalah sah dan hukuman negeri Terengganu perlu dihormati.
Katanya, Malaysia sudah menerima dua sistem oerundangan dan semua pihak perlu menghormati keputusan itu.– 4 September, 2018
Komen