KAWALAN keselamatan di laluan khas orang kenamaan di semua lapangan terbang akan diperketatkan selepas ada kemungkinan duit terkait syarikat bergelumang skandal 1Malaysia Development Berhad di bawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata laluan khas orang kenamaan itu juga akan dihadkan hanya kepada orang tertentu selepas ini.
“Sebelum ini, banyak pegawai-pegawai kementerian pakai (laluan VIP). Maka kita perlu ada prosedur lebih ketat untuk pastikan bukan semua boleh pakai.
“Saya juga difahamkan, daripada segi pemeriksaan tidak begitu ketat bagi pengguna laluan itu (tetapi) selepas ini, kita akan ketatkan,” katanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) di Kuala Lumpur, hari ini.
Maklumat pemindahan wang 1MDB melalui lapangan terbang diperolehi selepas penahanan bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abd Hamid minggu lepas.
Wang itu dipercayai digunakan bagi tujuan Pilihan Raya Umum ke-14, kata laporan media memetik sumber siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki tidak menolak lapangan terbang digunakan sebagai saluran masuk wang terkait syarikat skandal itu.
The New Sunday Times baru-baru ini melaporkan lebih RM20 bilion duit 1MDB kini dipegang oleh beberapa individu di luar negara, termasuk di Asia Barat.
Wang itu dipercayai ada kaitan dengan dana berjumlah RM49.5 juta (AS$12 juta) yang dikaitkan dengan pejabat risikan itu, yang dipercayai dibawa masuk melalui KLIA sebelum PRU14. – 4 September, 2018.
Komen